Ahli Parlimen PH hadir 100 peratus

Ahli Parlimen PH hadir 100 peratus

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) memberikan komitmen penuh apabila hadir di Dewan Rakyat semalam untuk mengundi bagi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau yang juga Ahli Parlimen Lanang berkata, bagaimanapun terdapat lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan bebas yang tidak hadir untuk melakukan undian.

“RUU Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga yang diperlukan iaitu 148 undian.

“Keputusan belah bahagian menunjukkan hanya 146 yang menyokong, 44 tidak mengundi, manakala 32 tidak hadir.

“Tetapi Ahli Parlimen PH semuanya 100 peratus hadir dan sokong,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Ia sekali gus menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang, membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.

Kegagalan meluluskan RUU itu sekali gus memberi petanda tidak menentu kepada satu lagi RUU pindaan penting esok iaitu berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang turut memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top