Ahli Parlimen Segamat tawar diri bertanding Naib Presiden PKR

Ahli Parlimen Segamat tawar diri bertanding Naib Presiden PKR

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden PKR bagi pemilihan pusat 2025-2028.

Yuneswaran berkata, beliau sudah menghantar borang pencalonan sebagai Naib Presiden PKR secara dalam talian pada jam 6.15 petang hari ini.

Katanya, sebagai anak muda yang telah bersama parti sejak awal usianya, beliau percaya PKR harus menjadi jambatan antara idealisme generasi baharu dan kebijaksanaan generasi terdahulu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, beliau tidak boleh hanya menunggu perubahan berlaku, namun mahu menjadi sebahagian daripadanya.

Sejak melangkah ke dalam PKR, 17 tahun lalu, Yuneswaran berkata beliau berpegang teguh pada prinsip yang tidak pernah ditinggalkan bahawa politik bukan sekadar ruang untuk berkuasa, tetapi medan untuk berkhidmat.

“PKR adalah wadah perjuangan yang saya pilih kerana ia membela yang tertindas, memperjuangkan keadilan dan membuka ruang kepada rakyat biasa untuk membina masa depan bersama.

“Saya membesar dalam gerakan ini, bermula dari kerja asas di peringkat cabang, memimpin program bersama masyarakat, mendengar keluhan anak muda dan warga marhaen, hinggalah ke Dewan Rakyat sebagai wakil mereka.

“Dari anggota biasa hingga dilantik sebagai Ketua AMK Negeri Johor, setiap langkah itu membentuk saya, bukan sekadar sebagai pemimpin, tetapi sebagai penggerak yang setia kepada roh dan nilai perjuangan parti.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan terhadap perjalanan panjang perjuangan reformasi, saya, R Yuneswaran, menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden PKR bagi pemilihan parti 2025-2028,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bulan lalu, Yuneswaran dilaporkan gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Tebrau apabila tewas mengejut kepada ahli biasa PKR, M Prakash.

Prakash berjaya memperoleh 690 undi dalam pemilihan berkenaan manakala Yuneswaran hanya berjaya meraih 589 undi.

Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang turut tewas mengejut dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Tebrau, hanya berjaya meraih 560 undi.

Yuneswaran berkata, PKR adalah parti yang dibina atas darah dan keringat mereka yang percaya bahawa negara ini boleh diselamatkan dengan integriti, keberanian dan keinsafan.

“Saya percaya bahawa kepimpinan parti mesti terus memperkukuh keterangkuman, memperjuangkan reformasi institusi, menjunjung prinsip kesederhanaan dan melahirkan lebih ramai pemimpin yang berani menegakkan kebenaran, walau dalam suasana yang paling mencabar.

“Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR 2023-2025, saya hadir dengan hati yang tenang dan komitmen yang jelas untuk terus menyumbang secara lebih bermakna dalam kepimpinan tertinggi parti, dan memastikan PKR kekal sebagai wadah perjuangan yang tulen, relevan dan diyakini rakyat Malaysia.

“Kepimpinan bukan soal gelaran, ia soal amanah. Oleh itu, saya dengan rendah hati memohon sokongan anda. Bukan atas nama peribadi, tetapi atas nama perjuangan yang kita junjung bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top