lokman.khairi@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seorang ahli perniagaan dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mencederakan bekas teman wanitanya, dua tahun lalu.
Majistret Amira Sariaty Zainal menjatuhkan hukuman itu terhadap Hoh Peng Onn, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM5,000 kepada mangsa, Liaw Ju Shuang, 28, dengan mengambil kira trauma serta kesan kecederaan dan emosi yang dialaminya.
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini.
Jika gagal membayar pampasan berkenaan, dia boleh dipenjara selama dua bulan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan supaya pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan jaminan RM4,000.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan penangguhan bayaran pampasan dan memerintahkan tertuduh melunaskan RM5,000 itu hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Peng Onn didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ki Shuang dengan memukul mangsa di sebuah unit kondominium di Seri Kembangan pada jam 12.30 tengah malam, 5 Oktober 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman memohon hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam serta tahap kecederaan yang dialami mangsa.
“Pihak pendakwaan juga memohon kepada mahkamah di bawah Seksyen 426(1A) Kanun Tatacara Jenayah supaya pampasan diberikan kepada mangsa dalam kes ini,” katanya.
Peguam bela tertuduh, Cheow Wee pula memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman denda berbanding penjara atas alasan anak guamnya adalah pesalah kali pertama dan tidak mempunyai sabitan terdahulu.
“Sejak didakwa, tertuduh juga menunjukkan tingkah laku baik dan tidak terbabit dengan sebarang kesalahan lain,” katanya.
Cheow turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi, selain meminta supaya bayaran pampasan ditangguhkan.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas pertengkaran antara tertuduh dan mangsa yang ketika itu masih pasangan kekasih di unit kediaman berkenaan dan tertuduh memukul mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada mata dan badan.
Mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri dari rumah untuk meminta pertolongan sebelum diselamatkan seorang jiran.
From: arazak
© New Straits Times Press (M) Bhd




