lokman.khairi@hmetro.com.my
Gombak: Nasib seorang lelaki yang hilang separuh tempurung kepalanya akibat kemalangan mendapat perhatian pihak Surau Al-Mukmin Mutiara Gombak di sini, yang tampil menyalurkan sumbangan Aidilfitri.
Bekas kru konsert, Ahmad Fadli Ilahi Akbar Ahmad Bistari, 31, berkata, kini dia tidak mampu bekerja kerana tidak berupaya lagi melakukan kerja berat, selain kini bergelar orang kurang upaya (OKU) penglihatan kerana mata kanannya disahkan buta.
Menceritakan detik mengubah kehidupannya, bapa seorang anak itu berkata, semuanya bermula pada Februari tahun lalu apabila dia yang sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terbabas dan kepalanya terlanggar penghadang jalan di Sungai Besi.
“Sedar-sedar sahaja, saya sudah berada di hospital dan separuh tempurung kepala di sebelah kanan terpaksa dibuang.
“Sejak kemalangan itu, saya kehilangan kerja kerana tak boleh lagi angkat barang berat disebabkan tangan saya patah dan masuk besi.
“Kerja saya sebelum ini memerlukan saya angkat perkakas audio dan skrin LED konsert, jadi saya tidak mampu lagi kembali bekerja seperti dahulu,” katanya.
Ahmad Fadli antara antara 150 asnaf dan fakir miskin yang menerima wang tunai RM300 dan barangan keperluan sumbangan Surau Al-Mukmin Mutiara Gombak di Program Kembara Kasih di sini, hari ini.
Menurutnya, dia bersyukur kerana sumbangan berkenaan sedikit-sebanyak membantu dia dan isteri membuat persiapan Aidilfitri yang akan menjelang seminggu sahaja lagi.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al Mukmin Datuk Nasharuddin Shukor berkata, pihaknya memperuntukan sebanyak RM133,000 wang zakat yang diinfaq oleh penderma untuk lima kategori bantuan merangkumi hampir 500 penerima.
Menurutnya, program yang dilaksanakan buat kali ke-14 itu turut mendapat kerjasama strategik Management and Science University (MSU), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), BHPetrol, Yayasan Hasanah, Yayasan Taqwa serta firma konsultasi, Elzar Shariah Solution and Advisory.
“Seramai 150 asnaf, fakir miskin dan pelajar sekolah yang berkeperluan menerima wang tunai RM300 serta barangan keperluan harian bernilai RM100.
“Selain itu, sebanyak RM21,000 diagihkan kepada institusi pendidikan sekitar kariah surau ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pusu, SK Gombak Utara, SK Gombak 2, Pusat Tahfiz Darul Mokhtar, KAFA Integrasi Sungai Pusu dan Rumah Anak Yatim Siti Khadijah di mana setiap satu institusi menerima RM3,000.
“Di samping itu, sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk pembayaran yuran pengajian pelajar Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejumlah RM20,000 akan digunakan untuk membaik pulih empat rumah ahli kariah yang daif melibatkan Batu 7 hingga Batu 10 termasuk Sungai Cincin, Kampung Changkat dan Desa Mukmin.
“Rumah yang dibaiki ini berbeza bergantung kepadaan masalah rumah dengan peruntukan RM3,000 hingga RM4,000 untuk setiap rumah.
“Contohnya, satu rumah di Batu 10 itu berada dalam keadaan terlalu daif hinggakan hanya berlantaikan tanah, jadi kita beri bajet untuk buat lantai konkrit supaya tidaklah seperti selama ini anak-anaknya bermain di atas tanah.
“Sekiranya bilik airnya tidak ada pintu, kita lengkapkan supaya penghuni rumah dapat menjaga aurat ahli keluarga,” katanya.
Pengarah Program Kembara Kasih Nik Azlan Nik Abdullah pula berkata, sebanyak RM10,000 lagi diperuntukkan untuk disumbangkan kepada 50 pekerja p-hailing.
“Setiap pekerja p-hailing akan terima wang tunai RM100 dan boucer petrol bernilai RM100 di surau ini pada 5.30 petang, 26 Mac ini termasuk majlis berbuka puasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd