mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Terlalu banyak jasa yang dicurahkan oleh Seniman Negara Ketujuh, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab terhadap industri muzik tanah air.
Dengan statusnya sebagai komposer yang aktif menghasilkan lagu-lagu untuk filem, Ahmad Nawab diiktiraf sebagai penerima rekod Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak atau The Most Cinematic Music Production oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan bersejarah ini disampaikan Pegawai Rasmi MBOR, Siti Hajar Johor kepada anak keempat Allahyarham iaitu Nasir Khan pada majlis yang berlangsung di pejabat MBOR di sini, hari ini.
Ia dinilai menerusi kejayaan Maestro muzik negara itu yang berjaya menghasilkan 200 lagu untuk 42 filem sepanjang hayatnya sejak era 60-an sehingga penghujung 70-an.
Siti Hajar berkata, pengiktirafan itu adalah satu pencapaian luar biasa dalam industri seni tanah air yang sukar ditandingi oleh mana-mana komposer sehingga kini.
“Kami mengiktiraf rekod arwah bagi kategori Produksi Muzik Paling Sinematik. Sebelum ini, belum pernah ada penggiat seni menerima pengiktirafan sebesar ini dalam bidang sama.
“Arwah juga pemegang rekod lagu terbanyak dirakamkan iaitu sebanyak 2,000 lagu yang dicatatkan pada tahun 2013,” katanya.
Menurutnya lagi, proses penilaian dibuat agak teliti sekitar hujung Disember lalu dan selepas pihaknya berpuashati barulah pengiktirafan diberikan.
Sementara itu, Nasir, 64, bersyukur usahanya yang mengambil masa agak lama untuk proses dokumentasi kini diiktiraf.
“Saya kena berhati-hati kerana benda ini benda yang besar dan Malaysia Book of Record adalah sesuatu yang besar. Jadi kenalah ambil masa.
“Saya juga bangga apabila usaha serta dedikasi bapa terus dihargai biarpun selepas pemergiannya. Proses mengumpul dan mendokumentasikan semula karya-karya Allahyarham dilakukan demi memastikan legasi seni tersebut tidak luput ditelan zaman, khususnya sebagai rujukan generasi muda.
“Menghasilkan muzik untuk 42 filem bukan sesuatu yang mampu dilakukan oleh semua orang. Malah pada hemat saya, sukar untuk ada mana-mana individu menandingi rekod beliau ketika ini.
“Kita tidak bercakap tentang satu genre semata-mata, sebaliknya pelbagai aliran termasuk filem purba seperti filem sulungnya, Tun Teja pada 1960, selain filem komedi dan drama. Arwah turut terlibat dalam enam filem bersama P. Ramlee termasuk Masam-Masam Manis dan Do Re Mi,” katanya.
Dia beruntung kerana bapanya amat teliti menyimpan segala hasil kerjanya di rumah.
“Saya hanya perlu membuat kajian lanjut, mengumpulkan judul filem serta maklumat pengarah, selain mendapatkan pengesahan daripada mereka yang masih ada mengenai lagu-lagu yang dihasilkan.
“Jika tiada siapa mengambil inisiatif, rekod sebegini akan hilang. Jadi saya rasa bertanggungjawab untuk melaksanakannya,” katanya.
Pada masa sama, Nasir sebelum ini turut menerbitkan buku Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab yang memuatkan nota rujukan muzik untuk diedarkan secara percuma ke perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sahaja.
“Buku ini diharap menjadi rujukan pelajar jurusan muzik. Selama ini kita banyak mengkaji muzik tradisional, namun muzik pop era P. Ramlee dan Ahmad Nawab juga wajar diteliti dari sudut sejarah serta perkembangan seninya.
“Saya juga berharap suatu hari nanti ada pihak kementerian yang sudi bekerjasama membuka galeri khas. Koleksi arwah terlalu banyak, daripada saksofon hingga skor muzik asal, semuanya masih tersimpan rapi,” katanya.
Allahyarham Ahmad Nawab atau pemilik nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir pada 24 November 2024 di kediamannya di Taman Melewar pada usia 92 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves, keesokan harinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




