Ahmad Shapawi kini Pengerusi Yakeb

Ahmad Shapawi kini Pengerusi Yakeb

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Teka-teki siapa yang akan menjawat jawatan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akhirnya terjawab selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilantik menggalas tugas itu berkuat kuasa hari ini hingga 2027.

Nama Ahmad Shapawi dalam dunia sukan bukanlah asing lagi dan pernah menguruskan pelbagai sukan sehingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus sudah pasti akan membantu Yakeb dalam membela nasib atlet.

“Berpengalaman sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), KBS yakin bahawa Datuk Ahmad Shapawi adalah figura yang mampu untuk menerajui Yakeb dengan baik dan menjaga kebajikan bekas atlet-atlet negara,” kata KBS dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Yakeb dipimpin oleh Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang baru tamat tempoh berkhidmatan semalam selepas tiga penggal menerajuinya sejak Mac 2019.

Antara kejayaan terbesar yang dilakukan oleh Noorul Ariffin ialah inisiatif memperjuangkan pencen ilat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) buat bekas atlet termasuk bekas pemain skuasy negara, Kenneth Low.

Beliau juga menyelesaikan hutang RM1 juta Yakeb sebelum meningkatkan kantung kewangan yayasan itu kepada RM3 juta.

Yakeb adalah sebuah badan yang aktif menjaga kebajikan bekas atlet kebangsaan dengan memberi pelbagai bantuan dan ketika ini difahamkan terdapat lebih 3,000 ahlinya di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top