Ahmad Syafiq Dedikasi Lagu ‘Bila Hatiku Rindu’ Untuk Insan Tersayang

Ahmad Syafiq Dedikasi Lagu ‘Bila Hatiku Rindu’ Untuk Insan Tersayang

Penyanyi dan pelakon Ahmad Syafiq kembali dengan single terbaharunya berjudul Bila Hatiku Rindu, sebuah lagu berkonsepkan pop rock balada yang membawa makna mendalam buat dirinya.

Ahmad Syafiq atau nama sebenarnya Ahmad Syafiq Mohamed, 25, mengakui bahawa proses rakaman lagu ini menjadi antara pengalaman paling sukar dilupakan sepanjang kariernya.

“Ketika rakaman, saya terlalu letih kerana jadual kerja lakonan yang padat. Ditambah pula dengan perasaan yang masih segar selepas menamatkan hubungan istimewa dengan seseorang yang pernah saya sayangi.

“Saya benar-benar menghayati lagu ini sehingga memberikan sepenuh emosi ketika rakaman, menyebabkan saya berasa loya dan mengalami kekejangan perut kerana keletihan,” katanya mengenang kembali detik itu.

Namun begitu, segala kepayahan yang dilalui berbaloi apabila hasil akhir lagu ini cukup memuaskan.

 

Perjalanan Seni Ahmad Syafiq

Sebelum ini, Ahmad Syafiq pernah tampil dengan beberapa single seperti Mahligai Dusta ciptaannya sendiri, Duri, Ikhlas, serta Ku Kirimkan bersama Aqeesh Aleeya.

Selain itu, dia juga pernah merakamkan semula lagu Buat Insan Tersayang, nyanyian asal Eddie Hamid dan Ashira, bersama Wawa Shazwa.

Video lirik lagu tersebut juga mendapat sambutan apabila meraih lebih satu juta tontonan di YouTube.

Karier muzik Ahmad Syafiq bermula pada tahun 2019 selepas berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan bakatnya.

“Saya mencuba nasib dalam program realiti Lagu Cinta Kita terbitan TV3 pada 2021 dan berjaya meraih tempat kedua. Sejak itu, syarikat rakaman yang menguruskan saya terus membawa nama saya ke hadapan dengan menerbitkan beberapa single,” jelasnya.

Menurutnya, perjalanan seninya dipermudahkan dengan sokongan ibunya yang sentiasa mendoakan kejayaannya.

“Dari awal saya menyatakan minat dalam bidang nyanyian, ibu merestui dan menggalakkan saya untuk menghadiri ujibakat. Selain itu, sahabat-sahabat saya juga banyak memberi sokongan, walaupun mereka tidak mempunyai minat yang sama, mereka tetap menyokong usaha saya melalui kemunculan dalam video cover dan parodi saya,” tambahnya.

Bermula sebagai penyanyi yang aktif membuat cover lagu selepas SPM, Ahmad Syafiq tidak pernah jemu untuk mengetengahkan bakatnya.

“Saya selalu ‘tag’ dan ‘mention’ syarikat rakaman serta menggunakan pelbagai hashtag agar mereka menyedari kewujudan saya. Alhamdulillah, usaha saya berhasil apabila sebuah syarikat pengurusan artis benar-benar berminat untuk menguruskan kerjaya seni saya,” ujarnya.

Syarikat itu, Trend Music, menawarkan kontrak kepada Ahmad Syafiq pada penghujung 2019, menjadikannya artis naungan mereka.

“Jika difikirkan, penantian saya untuk memiliki single sendiri sangat singkat. Saya mula menyanyi sejak usia 16 tahun, belajar secara sendiri tanpa ada keluarga atau rakan yang berkongsi minat sama. Syukur, akhirnya saya dapat melancarkan single ciptaan sendiri pada tahun 2020.”

Meskipun hanya dua tahun bergelar artis rakaman, Ahmad Syafiq sudah diberikan kepercayaan besar dalam industri, termasuk menggantikan Hafiz Suip dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 untuk lagu Berakhirlah Pencarianku bersama Wani Kayrie.

“Saya berharap dapat terus mengukir nama dalam industri muzik Malaysia,” katanya penuh harapan.

 

Scroll to Top