Ahmad Syafiq & Wawa Shazwa Tampil Dengan Menduakan Cinta, Angkat Kisah Luka Dan Pengorbanan

Ahmad Syafiq & Wawa Shazwa Tampil Dengan Menduakan Cinta, Angkat Kisah Luka Dan Pengorbanan

Gandingan serasi Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul Menduakan Cinta.

Kali ini, mereka mempertaruhkan karya dengan emosi yang lebih mendalam, menonjolkan kematangan vokal serta sentuhan puitis yang semakin jelas dalam penyampaian masing-masing.

Menerusi lagu ini, kedua-duanya memilih untuk menyelami genre balada yang sarat dengan rasa, berbeza daripada karya terdahulu. Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama menerusi rakaman semula lagu Buat Insan Tersayang yang pernah dipopularkan Eddie Hamid dan Ashira, yang berjaya meraih lebih satu juta tontonan di YouTube.

Di bawah bimbingan komposer terkenal Eddie Hamid, Ahmad Syafiq dan Wawa diberi kepercayaan penuh untuk menghidupkan emosi dan konflik dalam lagu Menduakan Cinta.

Menurut Ahmad Syafiq, lagu tersebut bukan sekadar karya biasa, sebaliknya menuntut komitmen tinggi daripada mereka.

“Kali ini kami cuba sesuatu yang berbeza dari segi genre. Lagu ini bukan sekadar hiburan tetapi membawa luahan perasaan yang mendalam. Kami berusaha sehabis baik untuk memastikan setiap emosi sampai kepada pendengar,” katanya.

Selain Eddie Hamid, lagu ini turut digubah bersama Barr Hadif dan Aiman Zaidi, manakala lirik dihasilkan oleh mereka bersama Hakim Hakimi dan Jaju.

Menduakan Cinta mengangkat kisah dua insan yang masih saling menyayangi, namun terpaksa berdepan realiti perpisahan. Ia menggambarkan situasi di mana cinta tidak lagi dapat dipertahankan walaupun perasaan masih utuh.

Wawa pula berkongsi bahawa lagu ini menyentuh emosi bersalah yang hadir apabila terpaksa melepaskan cinta yang pernah dibina.

“Lagu ini menggambarkan rasa bersalah seolah-olah kita mengkhianati cinta sendiri. Walaupun sayang itu masih ada, perpisahan tetap menjadi pilihan demi kebaikan semua,” jelasnya yang tetap memberikan komitmen penuh walaupun sedang hamil lima bulan ketika sesi rakaman berlangsung.

Proses rakaman dijalankan sebanyak dua kali bagi memastikan kualiti dan emosi yang disampaikan benar-benar mencapai tahap terbaik. Kerjasama rapat bersama pasukan produksi serta bimbingan jelas daripada Eddie Hamid membantu melancarkan keseluruhan proses di studio.

Menariknya, Menduakan Cinta turut dipilih sebagai lagu runut bunyi drama bersiri Bayangan Lelaki Sempurna yang kini disiarkan dalam slot Akasia di TV3 pada jam 7 malam. Drama 28 episod itu menampilkan barisan pelakon seperti Adam Lee, Sweet Qismina dan Nadia Brian.

Terbitan Nova Music Malaysia, lagu Menduakan Cinta kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya tersedia di saluran YouTube Nova Music Videos.

Scroll to Top