am@hmetro.com.my
Cyberjaya: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) wajar dinaik taraf sebagai sebuah jabatan, selaras dengan peranan dan tanggungjawabnya yang semakin besar kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, keupayaan penguatkuasaan perlu diperkukuh memandangkan cabaran semasa bukan sahaja membabitkan operasi fizikal di lapangan, malah merangkumi ruang digital yang lebih kompleks dan sukar dikesan.
“Kalau ditanya saya, bahagian penguat kuasa ini sudah sampai masa untuk naik satu tahap menjadi jabatan kerana peranannya bukan lagi kecil.
“(Kepada) Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri KPDN), bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bagi dukungan kepada cadangan ini dan kepada KSU (Ketua Setiausaha) KPDN, segera bincang dengan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), saya akan sentiasa berada di belakang anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali; timbalannya, Datuk Fuziah Salleh; KSU KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Ahmad Zahid berkata, isu kepenggunaan dan perdagangan domestik kini bersifat rentas kementerian, sekali gus menjadikan pasukan penguat kuasa sebagai rujukan utama apabila timbul sebarang masalah.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat memperhalusi cadangan berkenaan bagi memastikan kekuatan pasukan seiring dengan peningkatan tanggungjawab.
Beliau menegaskan, peranan penguat kuasa KPDN sebagai ‘frontliners’ menjadi benteng perlindungan pengguna sejak lebih lima dekad lalu, termasuk dalam menangani ketirisan subsidi, manipulasi harga dan jenayah perdagangan.
Katanya, kejayaan Ops Tiris sejak 2023 dengan rampasan melebihi RM260 juta serta lebih sejuta pemeriksaan dalam tempoh setahun membuktikan kecekapan dan komitmen pasukan berkenaan.
“Tanpa anda, subsidi boleh menjadi barang dagangan, minyak paket disorok dan dimanipulasi, malah petrol dan diesel diseludup tanpa kawalan yang akhirnya merugikan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Selain itu, pendekatan penguatkuasaan juga perlu berubah dengan memanfaatkan teknologi, data dan risikan bagi memastikan tindakan lebih pantas dan tepat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




