Ahmad Zahid lancar buku Ijtihad Demi Rakyat

Ahmad Zahid lancar buku Ijtihad Demi Rakyat

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan buku Ijtihad Demi Rakyat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini malam ini.

Ia adalah kompilasi petikan ucapan dan pencapaian utama Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam kenyataan berkata buku mengandungi 100 muka surat itu menghimpunkan kerangka pemikiran, gagasan serta pencapaian utama KKDW yang menterjemahkan mandat kepimpinan kepada tindakan strategik dan berimpak tinggi.

Menurutnya, mengambil bait ayat, “Dari Langit Turunnya Mandat, kepada Desa Bakti Dipahat”, itu menzahirkan iltizam bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif mampu menyentuh kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

“Ijtihad Demi Rakyat” turut mencerminkan perjalanan transformasi KKDW daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan yang sistematik,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, buku itu menggambarkan kesungguhan kepimpinan KKDW bersama bahagian serta agensi pelaksana bergerak secara bersepadu dalam memastikan setiap dasar bukan sahaja dirangka dengan baik, malah dilaksanakan secara efektif dan berkesan.

Pelancaran buku ini juga dilihat sebagai satu dokumentasi penting yang merakam usaha dan pencapaian KKDW dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat desa, selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top