farahmarshita@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, atas satu tuduhan pindaan, bagi pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula kepada Ahmad Zahid, 68, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffry Onguntuk meminda pertuduhan ke-27.
Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300 kepada 35 keping cek, berjumlah RM7,511,250.
Sejurus sebaik pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa terhadapnya, Ahmad Zahid kemudian menjawab mengaku tidak bersalah.
“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya.
“Terima kasih. Tidak mengaku,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid didakwa melakukan pengubahan wang haram, iaitu membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan mengarahkan Omar Ali Abdullah, mengubah bagi pihak dirinya, wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.
Cek-cek itu kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, iaitu hasil aktiviti haram.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise, Jalan Bukit Bintang, di sini, di antara 29 Mac dan 15 Julai 2016.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, serta memperuntuk penjara makismum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, memberitahu mahkamah proses penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta kepada 35 cek ialah aktiviti mencuci duit daripada sumber yang meragukan.
Saksi ke-95 pendakwaan itu berkata, perkara itu berdasarkan siasatannya terhadap keseluruhan kes membabitkan Ahmad Zahid.
Katanya, hasil siasatan terhadap seorang saksi, Omar Ali Abdullah yang juga pengurup wang, memaklumkan beliau tidak mengenali individu yang memberi wang berkenaan, sebelum menukarnya kepada cek, atas nama Tetuan Lewis & Co, iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi, milik Ahmad Zahid.
Beliau berkata, Omar Ali memberitahu beliau tidak mengenali individu yang memberi wang berkenaan dan hanya memaklumkan orang itu berpakaian kemas dan ia (pemberian wang) arahan Ahmad Zahid.
Berdasarkan pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid didakwa mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya, wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 membabitkan 35 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co, untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, sama ada wang berkenaan sumbangan Yayasan Al Bukhary, Mohd Fahmee menjawab: “Tidak.”
“Sepanjang siasatan, saya juga tidak menemui resit berkaitan sumbangan daripada yayasan tersebut.
“Yayasan Al Bukhary yayasan yang besar. Namun, saya tidak menjalankan siasatan ke atasnya secara mendalam. Saya tidak melihat akaun (yayasan) serta percakapan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.
Harris Ong: Adakah hasil siasatan anda mendapati wang tunai berkenaan daripada Yayasan Al Bukhary?
Mohd Fahmee: Tidak
Harris Ong: Selepas Omar Ali memberi keterangan di mahkamah, adakah anda dihubungi mana-mana orang daripada Yayasan Al Bukhary?
Mohd Fahmee: Tidak.
Harris Ong: Selain keterangan Omar Ali, apakah punca atau yang membuatkan anda memutuskan untuk tidak pergi lebih dalam terhadap siasatan Yayasan Al Bukhary?
Mohd Fahmee: Saya putuskan untuk tidak menyiasat yayasan itu secara mendalam kerana Omar Ali tidak mengenali orang yang memberi duit berkenaan.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




