Ahmad Zahid penggerak TVET Glokal mercu kemajuan komuniti negara 

Ahmad Zahid penggerak TVET Glokal mercu kemajuan komuniti negara 

Kuala Lumpur : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memainkan peranan penting dalam memperkukuh dasar diplomatik, kemanusiaan, pendidikan teknikal serta kesiapsiagaan bencana negara.

Kepimpinan beliau memperlihatkan keseimbangan antara diplomasi antarabangsa dan kesejahteraan domestik, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan ihsan, kemampanan dan perpaduan.

Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpendapat kepimpinan tokoh terkenal tanah air itu wajar dijadikan contoh dan pelbagai aspek.

Menurutnya, ia termasuk menerusi misi diplomatik dan hubungan dua hala serantau membabitkan Malaysia dengan Kemboja dan ASEAN secara keseluruhan.

“Dalam lawatan rasmi ke Phnom Penh, beliau mengetuai misi diplomatik Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang seperti pengurusan bencana, industri halal, pendidikan teknikal dan pelaburan luar bandar.

“Menerusi pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Ahmad Zahid menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau yang berteraskan keamanan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Selain itu komitmen Malaysia terhadap ketahanan serantau selepas menjadi antara anggota aktif dalam perjalanan AADMER, termasuk menjadi tuan rumah kepada gudang serantau DELSA di Subang, menyokong latihan ASEAN-ERAT, serta memperjuangkan penubuhan Pasukan Sedia Siaga Ketenteraan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Tindakan Bencana (AMRG on HADR).

Menurutnya, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memperkukuh keupayaan kolektif rantau ini berpandukan prinsip “One ASEAN, One Response.”

Kejayaan tindak balas pantas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar tahun ini menjadi bukti perpaduan dan koordinasi serantau di bawah kerangka AADMER.

Selain itu, Ahmad Zahid turut berperanan besar dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan modal insan negara.

“Di bawah kepimpinan beliau, usaha memperluas akses TVET diperhebat melalui platform UP_TVET Perdana yang menerima lebih 182,000 permohonan bagi sesi Julai 2025.

“Sebanyak 94 institusi awam kini menawarkan 460 kursus di peringkat ijazah, diploma dan sijil sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri digital, hijau dan berteknologi tinggi.

“Peranan Ahmad Zahid dalam memperkukuh TVET turut disokong oleh peruntukan besar dalam Belanjawan 2026. Sebanyak RM7.9 bilion diperuntukkan untuk memperkukuh pendidikan teknikal dan latihan kemahiran.” tegasnya.

Langkah ini seiring dengan hasrat Malaysia untuk menjadi hab pendidikan ASEAN, dengan lebih 130,000 pelajar antarabangsa kini memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian tinggi. Kepimpinan beliau membantu mewujudkan sinergi antara kementerian, industri dan komuniti bagi menjadikan TVET sebagai arus perdana pembangunan tenaga kerja negara.

Tambahnya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Ahmad Zahid memperlihatkan kepimpinan yang berkesan dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana negara.

Beliau menekankan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dengan menyalurkan arahan jelas kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar meningkatkan kesiapsiagaan semua agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pasukan penyelamat.

“Usaha ini membuahkan hasil apabila kawasan titik panas banjir berjaya dikurangkan daripada 4,619 kepada 3,683 lokasi hasil pelaksanaan projek mitigasi kerajaan.

“Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 di Jerantut yang disempurnakan oleh beliau turut menandakan ulang tahun ke-10 NADMA, sekali gus memperkukuh budaya kesiapsiagaan nasional.

“Dalam majlis itu, Ahmad Zahid melancarkan aplikasi MyInfoBencanaJKM (MyIBJKM) iaitu sistem digital pertama untuk pendaftaran mangsa bencana bagi mempercepat penyaluran bantuan wang ihsan.

“Aplikasi ini membolehkan bantuan RM1,000 disalurkan terus ke akaun mangsa, menandakan langkah progresif kerajaan dalam mendigitalkan urusan kebajikan bencana.

“Beliau juga mengumumkan rancangan membina Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di setiap negeri, bermula di Jerantut, bagi menyediakan perlindungan jangka panjang kepada mangsa bencana.” tambah Dr Syed Agil.

Malaysia kini diiktiraf di peringkat global sebagai negara dengan keupayaan pengurusan bencana bertaraf antarabangsa hasil latihan tersusun dan kesepaduan pelbagai agensi, pencapaian yang banyak digerakkan melalui kepimpinan beliau.

Selain aspek diplomasi dan kemanusiaan, Ahmad Zahid turut memainkan peranan dalam merancakkan pembangunan mampan negara.

Beliau menekankan pentingnya kerjasama antara kerajaan dan industri dalam mewujudkan peluang pekerjaan hijau, sejajar dengan matlamat Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Projek-projek seperti pelancaran fasiliti pemulihan bateri litium pertama di Nilai yang melibatkan kerjasama TVET dan sektor swasta membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyokong ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.

“Peranan Ahmad Zahid jelas melangkaui batas pentadbiran politik semata-mata. Beliau menjadi penggerak kepada diplomasi serantau yang progresif, pelindung rakyat melalui kesiapsiagaan bencana, pemacu pembangunan modal insan melalui TVET serta penyokong utama agenda ekonomi hijau dan inklusif.

“Sumbangan beliau memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang stabil, berdaya tahan dan berpaksikan kemanusiaan.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top