suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Subang Jaya: Operasi pembenihan awan (OPA) di sekitar kawasan Empangan Bukit Merah, Perak, pagi tadi, menyaksikan penyertaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam operasi terbabit.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut disertai Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah.
Rombongan menaiki pesawat C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas pada jam 11.30 pagi hari ini, di Lapangan Terbang TUDM, Subang bagi mengikuti OPA selama tiga jam termasuk satu jam pelepasan larutan garam di kawasan sasaran.
Sebelum berlepas, rombongan diberi taklimat berhubung keadaan cuaca semasa oleh pegawai Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan taklimat keselamatan oleh anggota TUDM.
Difahamkan, larutan natrium klorida (garam) disediakan pada pagi sama oleh MetMalaysia untuk kaedah pembenihan awan basah, iaitu dengan menyembur bahan ke dalam awan kumulus menara pada ketinggian 5,000 hingga 8,000 kaki.
MetMalaysia melaksanakan proses penyemburan manakala aspek logistik dan keselamatan dikendalikan sepenuhnya oleh TUDM.
Pemantauan berterusan turut dilakukan bagi menentukan keberkesanan operasi serta keperluan tindakan susulan.
OPA hari ini dianggap sebagai langkah intervensi segera yang menyeluruh meliputi aspek kesihatan awam, keselamatan makanan, kelangsungan ekonomi luar bandar dan kesejahteraan rakyat.
Untuk rekod, sebelum ini, bekalan air ke Rancangan Pengairan Kerian di daerah Kerian, Bagan Serai dicatu sementara, susulan penyusutan Empangan Bukit Merah yang mencecah Aras Kritikal Pengairan Tahap 1 iaitu 7.01 meter (m) sejak 26 Jun lalu akibat cuaca panas dan kering.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilapor berkata, JPS dalam laporan status semasa musim kering menyatakan bekalan air bagi kegunaan domestik masih dikekalkan supaya tidak terganggu.
Mengikut klasifikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), storan air empangan di bawah 29.99 peratus dikategorikan sebagai bahaya, manakala paras antara 30 hingga 59.99 peratus diklasifikasikan sebagai amaran dan 60 peratus ke atas dianggap normal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




