am@hmetro.com.my
Putrajaya: Rakyat Malaysia diseru untuk terus menderma kepada rakyat Palestin yang ketika ini berdepan pelbagai bentuk ujian termasuk berhadapan musim sejuk.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika umat Islam di Malaysia dapat menghadiri majlis selawat perdana, namun saudara seagama di Gaza terus dihujani bom tanpa henti dari rejim Israel.
“Marilah kita bela saudara di Palestin. Saudara kita terus dihujani bom. Dalam berita tadi dilaporkan bahawa lebih 4,000 saudara kita di Palestin kehilangan anggota tangan dan kaki, kini mereka sedang menghadapi musim sejuk.
“Marilah kita ummah di Malaysia, kita menderma apa saja yang boleh bagi saudara kita di Palestin, dalam menghadapi musim sejuk dan hujan peluru yang terus mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Malam Cinta Rasul bersempena Sambutan Maulidur Rasul SAW yang akan disambut umat Islam esok di Dataran Putra, di sini hari ini.
Program selawat perdana dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung itu, berlangsung di pekarangan Masjid Putra, turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam melaporkan, satu perempat daripada mangsa yang cedera dalam perang di Gaza, mengalami kehilangan upaya yang akan menjejaskan kehidupan mereka di masa depan.
Berdasarkan analisis dikeluarkan pertubuhan dunia itu, sebanyak 13,455 hingga 17,550 kecederaan anggota badan yang serius dilaporkan dengan antara 3,105 hingga 4,050 daripadanya hilang tangan atau kaki.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, umat Islam di Malaysia perlu terus menjadi contoh kepada masyarakat dunia sebagai ummah yang bersatu dan mementingkan adab serta sifat terpuji dalam berkomunikasi.
“Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua, didalam menyantuni dan meraikan Sambutan Maulidur Rasul esok, ummah di Malaysia.. marilah kita pentingkan ukhuwah dikalangan kita.
“Berdakwah mesti berlandaskan kepada akhlak yang terbaik. Mungkin kita ada perbedaan pendapat. Apa pun kedudukan kita dalam komuniti dan organisasi, mesti tunjukkan adab yang terbaik,” katanya.
Malam Cinta Rasul anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diadakan sebagai usaha mengimarahkan program-program penghayatan serta kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Esok dijadual berlangsung Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) disini dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
© New Straits Times Press (M) Bhd



