AMERIKA SYARIKAT – Kecerdasan buatan (AI) boleh menghapuskan sehingga separuh daripada semua pekerjaan profesional peringkat permulaan, pekerjaan kolar putih peringkat permulaan, mendorong pengangguran di Amerika Syarikat (AS) kepada 10 hingga 20 peratus dalam tempoh satu hingga lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei berkata, sektor-sektor seperti teknologi, kewangan, perundangan, perundingan dan bidang pekerjaan profesional lain terutamanya jawatan peringkat permulaan berisiko tinggi untuk tergugat akibat AI.
Justeru, dia menggesa kerajaan AS dan industri teknologi supaya berhenti memperkecilkan skala gangguan yang bakal berlaku.
“Kita, sebagai pengeluar teknologi ini, mempunyai tanggungjawab untuk bersikap jujur tentang apa yang bakal berlaku. Saya rasa perkara ini masih belum disedari oleh orang ramai,” katanya menerusi temu bual bersama Axios pada Khamis.
Amodei bukan sekadar meramalkan perubahan ini, dia juga sedang membangunkan alat yang boleh mencetuskan dan menjana keuntungan daripadanya.
Ejen AI keluaran syarikatnya, Claude, merupakan antara sistem paling berkuasa yang telah muncul dalam perlumbaan AI setakat ini.
Model Claude 3.5 Sonnet mempunyai keupayaan untuk menggerakkan kursor tetikus dan berinteraksi dengan antara muka komputer, menurut pendedahan syarikat itu pada bulan Oktober.
Google telah melabur lebih daripada AS$3 bilion (RM14.1 bilion) ke dalam syarikat pemula itu dengan tambahan AS$750 juta (RM3.53 bilion) dirancang untuk tahun 2025, menjadikan pegangan syarikat teknologi gergasi tersebut dalam syarikat berkenaan sebanyak 14 peratus, menurut dokumen undang-undang daripada kes antitrust oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap Google.
Begitu juga, Amazon telah melabur AS$8 bilion (RM37.6 bilion), menjadikannya ‘rakan utama awan dan latihan’ bagi Anthropic.
Amaran Amodei dikeluarkan sejurus selepas Anthropic melancarkan generasi terbaharu model Claude, Claude Opus 4 dan Claude Sonnet 4 yang didakwa akan menetapkan ‘piawaian baharu dalam pengekodan, penaakulan lanjutan dan agen AI’.
Namun begitu, ujian dalaman menunjukkan bahawa model tersebut boleh terlibat dalam tingkah laku pemerasan yang melampau apabila diberi rangsangan dalam senario simulasi yang melibatkan ancaman untuk dinyahaktifkan, menurut satu laporan yang diterbitkan bulan ini.
Dengan menyuarakan kemungkinan kehilangan pekerjaan sambil secara tidak langsung menarik lebih banyak perhatian kepada produk Anthropic, Amodei memberitahu, dia berharap dapat menyedarkan pembuat dasar, syarikat dan orang ramai supaya bertindak dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan perubahan besar dalam pasaran tenaga kerja.
Amodei berkata, para penggubal undang-undang masih tidak tahu atau menafikan perkara itu, manakala pemimpin korporat pula enggan bercakap secara jujur, menyebabkan kebanyakan pekerja tidak menyedari risiko besar yang bakal berlaku.
“Kebanyakan daripada mereka tidak sedar bahawa perkara ini akan berlaku tidak lama lagi. Kedengaran seperti sesuatu yang gila dan orang ramai langsung tidak mempercayainya,” katanya.
Sementara Presiden Donald Trump kebanyakannya berdiam diri mengenai kemungkinan kehilangan pekerjaan akibat AI.
Seorang tokoh penting dalam pentadbiran pertama Trump, Steve Bannon memberitahu Axios, pemusnahan pekerjaan pengurusan peringkat permulaan dan pekerjaan teknologi akan menjadi isu besar dalam pilihan raya presiden 2028.
“Saya rasa tiada siapa yang mempertimbangkan bagaimana pekerjaan pentadbiran, pengurusan dan teknologi bagi golongan bawah 30 tahun iaitu peranan penting dalam kerjaya awal mereka akan musnah,” kata Bannon.
Amodei pula berpendapat teknologi ini membawa janji besar serta bahaya yang sama besarnya.
Satu senario yang Amodei bayangkan, kanser dapat disembuhkan, ekonomi berkembang 10 peratus setahun, belanjawan seimbang, tetapi 20 peratus daripada rakyat tidak mempunyai pekerjaan.
Ujarnya lagi, amaran beliau sejajar dengan apa yang telah dikongsi secara peribadi oleh pemimpin-pemimpin AI terkemuka lain, bahawa walaupun mereka mempercayai potensi teknologi itu untuk kemajuan yang transformasi, mereka amat bimbang tentang kesan ekonomi dan sosial jangka pendek terutamanya jika kadar perubahan terus tidak terkawal sepanjang penggal kedua Trump.
Beliau menggambarkan situasi berkenaan sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Kami berkata, ‘Anda patut risau ke mana hal ini akan menuju,’ tetapi orang ramai menjawab, ‘Kami tidak percaya anda. Anda membesar-besarkan’,” katanya.