saufi@mediaprima.com.my
KEMAJUAN teknologi masa kini membuka ruang baharu dalam memperkasakan kawalan sempadan negara.
Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengecaman wajah (facial recognition) dan dron bukan sahaja membantu mengekang jenayah rentas sempadan, malah menjadi pemangkin kepada kecekapan agensi keselamatan negara.
Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohd Aslam, berkata teknologi mampu menampung kekangan sumber manusia dan mengurangkan risiko rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa sempadan.
Beliau berkata, strategi kawalan yang berkesan perlu menggabungkan teknologi moden dengan integriti dan kerjasama antara agensi keselamatan negara.
“Teknologi AI kini banyak digunakan dalam pemantauan visual masa nyata.
“Sistem video analitik berkuasa AI membolehkan pengesanan automatik pergerakan mencurigakan di kawasan sempadan, dron yang dilengkapi sensor haba pula boleh mengesan penceroboh yang cuba menyelinap melalui laluan sukar dikesan,” katanya.
Katanya, teknologi dron berasaskan AI terbukti membantu meningkatkan kecekapan pengawasan sempadan di Eropah dan Asia.
“Di Malaysia, pengecaman wajah mula diterapkan melalui inisiatif seperti sistem MyBorderPass di laluan Johor-Singapura.
“Sistem ini membolehkan individu yang merentas sempadan terutamanya penunggang motosikal melalui pemeriksaan secara automatik selepas data biometrik mereka direkodkan terlebih dahulu.
“Saya difahamkan lebih 30,000 data dikumpul setakat ini bagi mempercepatkan proses imigresen tanpa menjejaskan keselamatan,” katanya.
Sistem ini dilaporkan oleh portal ‘Biometric Update’ sebagai satu langkah proaktif negara dalam memperkukuh kecekapan sempadan darat.
Pada masa sama, satu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mencadangkan penggunaan teknologi seperti AI dalam model Pengurusan Sempadan Bersepadu (Integrated Border Management, IBM) untuk memperkukuh keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.
Kajian menekankan bahawa AI mampu membantu mengesan penyeludupan, pemerdagangan manusia dan ketirisan kawalan yang berpunca daripada kekangan manusia serta kelemahan struktur pentadbiran.
Malaysia kini dalam proses mengkaji pelaksanaan National Border Control System (NBCS) yang turut mengintegrasikan AI sebagai teras utama pemantauan dan pengesanan ancaman di sempadan.
Usaha ini diperincikan dalam kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai langkah memperkasa kawalan sempadan melalui teknologi pintar.
Di peringkat antarabangsa, beberapa negara menunjukkan contoh cemerlang dalam mengadaptasi teknologi sempadan.
Australia dan New Zealand contohnya menggunakan sistem automatik seperti SmartGate yang menggunakan pengecaman wajah dan data biometrik daripada e-pasport untuk mempercepatkan proses imigresen di lapangan terbang.
Kesatuan Eropah pula mempunyai sistem Eurosur yang memantau sempadan darat dan laut menggunakan gabungan teknologi termasuk dron, satelit dan pesawat pengintip bagi mengenal pasti pergerakan migran haram dan aktiviti penyeludupan.
Dr Mohd Mizan berkata, walaupun begitu, penggunaan teknologi ini turut menimbulkan isu berkaitan privasi, data peribadi dan risiko diskriminasi.
Menurutnya, Malaysia harus belajar daripada pengalaman negara-negara ini, namun melaksanakannya secara berhati-hati dan tersusun.
Beliau menyarankan supaya pendekatan menyeluruh melalui prinsip pengurusan sempadan bersepadu dilaksanakan secara strategik termasuk penggubalan dasar perlindungan data dan pemantauan etika penggunaan teknologi.
© New Straits Times Press (M) Bhd