bhsukan@bh.com.my
ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak sedar skuadnya berdepan cabaran cukup getir apabila akan mengharungi jadual lebih padat sebaik kembali memulakan semula baki perlawanan Liga Super yang tertunda bermula Jumaat ini.
Persiapan dari segi mental dan fizikal pemain menjadi fokus utama skuad Hijau Kuning dalam menghadapi sembilan perlawanan dalam tempoh sebulan akan datang termasuk tiga perlawanan awal menentang Selangor FC bermula Jumaat ini, diikuti Penang FC dan Terengganu FC masing-masing pada 13 Ogos, 17 Ogos dan 21 Ogos ini.
Sebaik menerima berita pengumuman perubahan jadual yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam, Aidil sangat berharap agar setiap pemainnya kekal tenang dan elak terlalu memikirkan tekanan untuk menghadapi keseluruhan perlawanan berkenaan.
“Melalui jadual baharu yang diumumkan MFL semalam, saya berharap semua pemain agar usah terlalu melihat jumlah perlawanan secara keseluruhan, sebaliknya, mereka perlu fokus dan memberi tumpuan perancangan hanya pada satu perlawanan sahaja setiap kali mahu beraksi.
“Jika kita terlalu melihat jauh secara keseluruhan jadual, mungkin pemain akan berasa tertekan dari aspek psikologi mereka apabila hendak beraksi nanti.
“Jadi, elakkan tekanan seumpama itu dan cuma fokus pada setiap satu perlawanan yang dirancangkan demi kelancaran menghadapi perjalanan semua perlawanan nanti,” katanya.
Aidil juga berkata KDA FC hanya memiliki ruang yang terhad dari segi penggantian pemain jika perlukan pertukaran akibat kecederaan atau penggantungan, kerana pasukan itu tidak mempunyai pilihan membabitkan pasukan kedua yang membolehkan penggantian dilakukan lebih mudah.
“Kita tidak seperti pasukan besar yang lain seperti JDT FC, Selangor FC dan Terengganu FC yang memiliki pasukan kedua termasuk pemain import yang boleh digantikan jika terdapat pemain utama yang mengalami kecederaan.
“Kita berpijak di bumi yang nyata dengan memanfaatkan apa yang kita ada, dan setiap perancangan terbaik harus kita lakukan dengan lebih berhati-hati bagi memastikan perjalanan perlawanan berjalan lancar mengikut perancangan.
“Kekuatan kita bergantung kepada keupayaan serta kesungguhan pemain kita sendiri untuk mereka bangkit dan memastikan kemampuan dan keupayaan mereka dalam menghadapi cabaran jadual yang padat dan meletihkan itu,” katanya.
Skuad KDA FC sudah kembali fokus menjalani latihan sejak 4 Ogos lalu bagi melakukan persiapan menghadapi aksi sambungan saingan Liga Super selepas menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sejak 21 Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




