nfazlina@nstp.com.my
KOTA BHARU: “Aidiladha kali ini terasa sepi buat kami sekeluarga mengenangkan anak sulung hilang sejak kelmarin masih belum ada khabar berita”.
Itu luahan Syarman Yaakob, 42, yang kehilangan anak perempuan, Nor Syarafina Syarman, 18, selepas keluar rumah di Kampung Parit Lembah Libat, Peringat jam 3.30 petang kelmarin.
Syarman berkata anaknya meminta izin untuk keluar pada petang hari kejadian dan memaklumkan mahu berjumpa dengan rakannya.
“Ketika itu saya sedang membuat lemang untuk dijual dan sempat melihat anak keluar dan diambil kawannya. Syarafina memaklumkan hanya mahu keluar sekejap sebelum pulang ke rumah untuk membantu saya berniaga.
“Bagaimanapun, selepas jam 4 petang, saya cuba menghubungi Syarafina, namun gagal sehinggalah kini kedudukan anak saya gagal dikesan.
“Saya cuba bertanyakan rakannya yang mengambil anak saya. Dia memaklumkan hanya mengambil Syarafina dan menghantarnya di hadapan masjid sebelum anak saya menaiki kereta kakak angkatnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Syarman berkata, sebelum ini anaknya ada bercerita mengenai kakak angkatnya yang dipercayai tinggal di Melor, namun dia sekeluarga tidak mengenalinya.
“Saya kini resah dan sedih memikirkan keadaan anak kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini memandangkan sudah dua hari kehilangannya.
“Saya juga sudah membuat laporan di Balai Polis Melor, namun sehingga kini belum ada sebarang maklumat berhubung kehilangan anak saya,” katanya.
Menurutnya, anak sulung daripada empat beradik itu seorang anak yang baik dan rajin membantunya berniaga di kedai makan.
“Sebelum ini anak saya tidak pernah keluar rumah lama dan sentiasa menghubungi kami memaklumkan kedudukannya. Ini yang membuatkan saya dan isteri bimbang.
“Saya juga mengharapkan bantuan orang ramai supaya menghubungi kami di talian 017-9440049 sekiranya menemui anak saya.
“Jika orang lain ceria di hari Aidiladha, namun bagi kami seperti tiada makna kerana sejak kehilangan anak, saya tidak mampu makan dan tidur kerana terlalu bimbang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




