Aidilfitri: 248 stesen minyak di Kelantan beroperasi seperti biasa

Aidilfitri: 248 stesen minyak di Kelantan beroperasi seperti biasa

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Sebanyak 248 stesen minyak di seluruh Kelantan beroperasi seperti biasa pada Aidilfitri nanti, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan bekalan minyak pada hari raya nanti.

“Setakat ini semua stesen minyak beroperasi seperti biasa dan hanya beberapa stesen minyak memohon untuk membuka sedikit lewat.

“Pada masa sama, ada beberapa premis yang memohon untuk melanjutkan tempoh perniagaan dan permohonan yang diterima itu kami luluskan.

“Bagi mereka yang menutup, beroperasi lebih masa atau lewat tanpa memaklumkan kepada pihak KPDN, ia menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media pada Majlis Iftar KPDN di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah stesen minyak di seluruh Kelantan adalah 248 stesen dan daripada jumlah itu, 48 stesen minyak berada di kawasan sempadan.

“Bagaimanapun untuk stesen minyak di kawasan sempadan membabitkan beberapa daerah, mereka memohon kuota minyak yang lebih memandangkan sambutan pada Aidilfitri adalah tinggi,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Kelantan menjelaskan hanya empat jenis premis yang diminta tutup pada Hari Raya pertama, bukannya membabitkan semua premis.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah dilaporkan berkata, empat premis berkenaan adalah pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan restoran makanan segera.

Katanya, premis lain yang di luar empat kategori berkenaan boleh beroperasi seperti biasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top