Aidilfitri: Polis jangka laluan Gua Musang sesak hingga malam ini

Aidilfitri: Polis jangka laluan Gua Musang sesak hingga malam ini

Gua Musang: Polis menjangkakan kesesakan lalu lintas di laluan Gua Musang akan meningkat hingga malam nanti, berikutan pertambahan jumlah kenderaan warga perantau yang pulang untuk meraikan Aidilfitri esok.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, kenderaan perantau dari Lembah Klang masih bertali arus memasuki daerah ini melalui pintu masuk sempadan, selain terdapat beberapa kenderaan yang mengalami kerosakan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Pahang.

“Kesesakan trafik di kawasan sempadan Merapoh, Pahang dan Kampung Mentara, di sini mencecah hingga 20 kilometer berikutan terdapat kerosakan kenderaan berlaku di jalan itu.

“Anggota yang bertugas turut dibantu oleh orang awam untuk menangani kenderaan yang rosak bagi melancarkan aliran trafik serta mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Sik berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan rapi serta penyuraian trafik secara berkala bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran kenderaan lebih terkawal.

Sementara itu, tinjauan Bernama setakat 5 petang tadi mendapati bilangan kenderaan semakin bertambah di Kampung Lepan Jaya berhampiran Kampung Meranto, manakala aliran trafik perlahan di hadapan Dewan Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang sehingga lampu isyarat Persimpangan Bendahara dan sepanjang Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Pengguna jalan raya dari Gombak, Selangor Siti Noraini Ghazali, 37, berkata dia telah merancang untuk pulang sehari sebelum Aidilfitri agar tidak berdepan dengan kesesakan dalam perjalanan, namun tetap mengalami kelewatan trafik di pintu sempadan Pahang menuju ke Kelantan.

“Kesesakan jalan yang berlaku menyebabkan ada pengguna terpaksa berhenti di tepi jalan kerana kenderaan mengalami masalah.

“Saya memilih untuk menggunakan laluan ini kerana jarak lebih dekat berbanding melalui Lebuh Raya Pantai Timur. Saya menjangkakan perjalanan untuk pulang ke kampung di Kuala Krai akan lancar, tetapi sebaliknya bertukar menjadi semakin letih dan penat berikutan cuaca panas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top