AIM kembali selepas lima tahun

KUALA LUMPUR – Anugerah Industsi Muzik (AIM) kembali merancakkan persada seni tanah air menerusi edisi yang ke-23 selepas lima tahun tidak dianjurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, pihaknya teruja dengan penganjuran itu yang tidak hanya mengiktiraf penyanyi tetapi turut mengangkat komposer, penulis lirik, penerbit dan jurutera bunyi itu.

“Kami amat teruja untuk menganjurkan AIM yang ke-23 selepas lama menyepi sekali gus selepas pemulihan selepas tempoh pandemik.

“Penilaian dibuat berdasarkan merit dan kualiti di samping membantu merangsang kreativiti dalam penciptaan muzik yang boleh menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Rosmin berkata demikian pada sidang media pertama AIM di Hard Rock Cafe di sini semalam.

Kali terakhir diadakan pada 2016, AIM akan berlangsung pada 11 September depan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor.

Sementara itu, Rosmin memberitahu, tempoh penilaian pencalonan lagu adalah untuk yang diterbitkan bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

Menjawab mengenai tempoh masa penilaian yang terlalu singkat Rosmin menjelaskan, segalanya perlu dilalukan dengan cepat memandangkan acara bakal berlangsung pada bulan depan.

“Setelah membuat perbincangan kami mengambil kata sepakat menetapkan tempoh itu. Setelah menilai banyak faktor setahun setengah adalah tempoh terbaik.

“Kami ada nilaikan untuk menetapkam tempoh setahun seperti biasa tetapi kemudian perbincangan menetapkan setahun setengah dibuat oleh ahli majlis RIM.

“Kami menganggap lagu-lagu yang dihasilkan sebelum ini tiada rezeki tetapi mungkin bermakna lagu itu tidak bagus kerana sebelum ini ada juga beberapa anugerah lain,” terangnya.

Tempoh pencalonan dibuka sejak 27 Julai lalu hingga 5 Ogos ini pukul 5 petang.

Penghakiman untuk pencalonan yang diterima akan dikendalikan panel terpilih terdiri daripada pengamal sementara ketua hakim akan ditentukan oleh jawatankuasa AIM.

Sebanyak 26 kategori dipertandingankan antaranya Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan), Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan Video Muzik Terbaik.

Selain itu Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu R&B/Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Cina Tempatan Terbaik.

Seterusnya Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Melayu Terbaik Yang Dopersembahkan Oleh Artis Luar Negara, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Album Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Anugerah Sri Wirama.

Turut dicalonkan adalah Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Paling Tinggi Distrim dan Lagu Nada Dering Jualan Paling Laris.

AIM akan bersiaran secara rasmi di saluran Astro Ria menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO dan radio Era. – MalaysiaGazette