AIM25 bawakan barisan artis terkemuka, eksklusif di TVS

AIM25 bawakan barisan artis terkemuka, eksklusif di TVS

KUCHING: Penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal melakar sejarah tersendiri apabila julung kalinya dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia sepanjang 25 tahun penganjurannya.

Acara berprestij yang meletakkan Sarawak sebagai pusat sambutan muzik tanah air itu dijadualkan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada Sabtu, 26 September 2026.

Dianjurkan bersama oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan TVS, penganjuran edisi jubli perak di Bumi Kenyalang ini bukan sahaja membawa nama-nama besar serta meluaskan jangkauan muzik tempatan, malah memperkukuh pengiktirafan terhadap kepelbagaian bakat dari seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak.

Lebih menarik, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik bagi melengkapkan 32 kategori sedia ada, sekali gus meraikan landskap muzik Malaysia yang kaya dan pelbagai.

Malam kemuncak AIM25 bakal dikendalikan oleh barisan hos berpengalaman iaitu Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, serta wartawan dan hos TVS, Sheera Abg Mansoor.

Sementara itu, acara Karpet Merah pula akan dihoskan oleh Yusuf Shukri, hos TVS dan Elya Nabila, penyampai radio CATS FM.

AIM25 bawakan barisan artis terkemuka, eksklusif di TVS

Komposer ternama tanah air, Ajai, menggalas tanggungjawab sebagai ketua juri bagi Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) 

Bagi memastikan kredibiliti anugerah terus terpelihara, penilaian karya-karya bertanding turut diperkasakan menerusi barisan juri profesional tanah air yang antaranya barisan juri diketuai oleh komposer ternama, Ajai.

Malam anugerah itu juga bakal dihangatkan dengan persembahan eksklusif daripada barisan artis terkenal seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Hafiz Suip,  Hael Husaini, Mimifly, Marsha Milan, Hujan, Estranged, Adira Suhaimi, Anggrek, Akim Ahmad, Azlan Typewriter, ⁠Fajar Noor, Alena Murang dan ramai lagi.

Kemeriahan majlis diteruskan lagi dengan barisan penyampai anugerah yang menampilkan figura popular seperti Stacy, Hujan, Iman Troye, Noraniza Idris, Lah Ahmad, Mila Jirin, Melissa Francis, Luqman, Marzella Sigai, Salam dan ramai lagi.

Penonton di seluruh negara berpeluang menyaksikan keseluruhan perjalanan AIM25 secara langsung dan eksklusif menerusi TVS saluran 122 di MYTV, Unifi TV, dan Astro serta aplikasi TVS Inspire.

Antara figura hebat dan bakat-bakat tanah air yang bakal memeriahkan pentas Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25)

Siaran khas akan bermula jam 8.00 malam dengan acara karpet merah menerusi platform media sosial TVS di Facebook, Instagram dan TikTok serta aplikasi TVS Inspire, sebelum diteruskan dengan Malam Kemuncak AIM25 pada jam 9 malam.

Liputan menyeluruh TVS merangkumi ketibaan bintang muzik di karpet merah, persembahan eksklusif, kolaborasi istimewa, kemuncak penyampaian anugerah, reaksi pertama para pemenang di belakang pentas sehinggalah sidang media pascaacara.

Kemeriahan AIM25 turut disemarakkan menerusi sokongan rangkaian rakan radio rasmi termasuk CATS FM, Era FM, Hitz FM, MY FM dan Raaga FM yang bakal menyemarakkan bahang anugerah ini di seluruh negara.

Saksikan malam kemuncak secara langsung di TVS Saluran 122 (MYTV, Unifi TV, Astro) atau menerusi aplikasi TVS Inspire pada Sabtu, 26 September 2026, bermula jam 8.00 malam.

 

#TVS #TVSarawak #AIM25diTVS122 #AIM25 #AnugerahIndustriMuzik



© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top