Aina Abdul syukur 'Ya Habibi Ya Aidilfitri' mula diterima

Aina Abdul syukur 'Ya Habibi Ya Aidilfitri' mula diterima

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun menerima pelbagai reaksi, penyanyi, Aina Abdul, 33, meluahkan rasa syukur apabila karya terbaharunya yang berkonsepkan irama Arab, ‘Ya Habibi Ya Aidilfitri’ mula mendapat tempat di hati peminat.

Menerusi perkongsiannya di media sosial semalam, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia menyedari lagu terbaharunya itu mungkin tidak dapat diterima semua pihak, namun menyifatkan ia sebahagian daripada cabaran dalam menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

“Saya tahu ia bukan kegemaran semua orang, tetapi itulah ‘struggle’ dalam percubaan untuk memberi kelainan.

“Tidak semua akan suka dengan pembaharuan yang kita cuba tampilkan, tetapi tidak mengapa,” tulisnya.

Menurut pelantun lagu Semalam ini, maklum balas yang diterima sama sekali tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkarya, malah enggan memilih ‘jalan selamat’ dalam kerjaya seninya.

Dalam pada itu, Aina turut berkongsi berita gembira apabila video muzik lagu rayanya itu berjaya mencecah 200,000 tontonan dalam tempoh dua hari dilancarkan.

“Tanpa sedar, kita baru sahaja mencecah 200,000 tontonan dalam masa dua hari. Alhamdulillah, teruskan memberi sokongan ya semua,” tulisnya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top