Aina Abdul tak rasa selamat, pernah 'tidak laku' empat tahun

Aina Abdul tak rasa selamat, pernah 'tidak laku' empat tahun

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi Aina Abdul, 31, mengakui dia tidak pernah berasa ‘selamat’ dalam karier seni walaupun sudah 10 tahun dan meraih gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36), Oktober lalu.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia juga tidak menyangka akan berada pada tahap popular sekarang kerana apa yang pernah dilaluinya untuk menempa nama cukup berliku, termasuk ‘tidak laku’ selama empat tahun.

“Dalam industri ini, saya tidak pernah rasa selamat. Saya tak pernah rasa macam saya stabil (kedudukan). Kadang-kadang, saya rasa macam tidak berpijak di tanah, macam terapung saja.

“Susah untuk saya rasa kukuh di dalam industri ini. Jadi, saya tak pernah pun harapkan apa-apa, tapi saya cakap kepada peminat kalau nama dicalonkan dalam anugerah memerlukan undian, terserah mereka.

“Kalau ada masa nak undi, buatlah. Kalau tak undi pun tak apa. Ia tak bermaksud saya tidak sayang mereka (peminat) sebab tak undi. Saya tak nak ada perubahan perasaan terhadap peminat. Bagi saya, biar tetap sama,” katanya kepada Harian Metro.

Aina yang pernah mendapat didikan daripada Ella sebagai mentor dalam Mentor Legend 2014 berkata, kejayaannya merangkul gelaran naib juara ketika itu bukan tiket untuk terus mendapat tempat dan dikenali seperti sekarang.

“Ketika dalam program Mentor Legend itu, sebagai bakat baharu memang membantu untuk dikenali peminat. Tapi, permainan industri yang sebenar adalah selepas program berkenaan berakhir. Ia tidak mudah.

“Saya pernah tidak mendapat tawaran menyanyi. Jadi, saya beritahu pada ibu saya mahu menyambung pengajian ijazah muzik kerana menimba ilmu tetap penting,” katanya.

Menurut Aina, penghujung 2018 akhirnya mengubah nasibnya dalam karier nyanyian dengan terhasilnya lagu Sumpah yang disifatkan cabaran besar mencipta lagu bahasa Melayu.

“Saya meneruskan pengajian ijazah di universiti swasta yang rakan-rakan di sekeliling saya memang bercakap bahasa Inggeris dan kami banyak buat lagu pun dalam Bahasa Inggeris.

“Jadi, apabila rakan yang kini pengurus saya, Zizi minta buat lagu bahasa Melayu ketika itu (2018) saya takut dan bimbang tidak menjadi. Tapi, dengan sokongan positif diberi saya nekad biar cuba dulu,” kata Aina yang bersyukur lagu Sumpah berjaya membawanya ke pentas kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, walaupun persembahannya dikritik hebat kerana didakwa membawa mesej bunuh diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top