Aina Abdul Tegur Pengkritik, Jawab Dakwaan Lagu Raya Ya Habibi Ya Aidilfitri ‘Gagal’

Aina Abdul Tegur Pengkritik, Jawab Dakwaan Lagu Raya Ya Habibi Ya Aidilfitri ‘Gagal’

Penyanyi, Aina Abdul meluahkan rasa kesal apabila lagu raya terbaharunya berjudul ‘Ya Habibi Ya Aidilfitri’ dikritik seorang individu yang mendakwa karya tersebut ‘gagal’.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, tampil bersuara selepas menerima komen berbaur negatif terhadap lagu berkenaan.

Menurut Aina, pencapaian lagu itu dari segi tontonan dan penstriman jelas menunjukkan penerimaan baik daripada pendengar, sekali gus menolak dakwaan ia tidak berjaya.

“Hampir 500,000 tontonan di YouTube (dalam seminggu), 100,000 penstriman di Spotify dan angka itu masih meningkat. Gagal ke macam ini?” katanya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Sumpah itu mengakui bukan jenis yang gemar membalas komen negatif, namun kali ini dia merasakan perlu untuk bersuara kerana situasi berkenaan disifatkan tidak adil.

“Saya biasanya tidak membalas komen kebencian, malah memang tidak pernah balas langsung. Tetapi kali ini, Aina akan bersuara kerana ia tidak adil,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Aina tetap memilih untuk mendoakan individu yang meninggalkan komen tersebut agar berada dalam keadaan lebih baik.

“Saya berharap dan mendoakan agar individu yang menulis komen itu berada dalam keadaan lebih bahagia,” katanya.

Scroll to Top