Ainaa, Ameeshanraj mara ke suku akhir Trofi Tuanku Muhriz

Ainaa, Ameeshanraj mara ke suku akhir Trofi Tuanku Muhriz

PETALING JAYA: Dua wakil negara, C. Ameeshanraj dan Noor Ainaa Amani Ampandi yang diletakkan sebagai pilihan kedua menepati ramalan menjejakkan kaki ke suku akhir pada Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Ainaa yang menghuni ranking No. 48 dunia tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran Risa Sugimoto dari Jepun 11-5, 11-4, 11-1 pada pusingan kedua perseorangan wanita di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Hj Mohd Said.

Esok, pemain berusia 23 tahun itu akan bertemu Alina Bushma di suku akhir, selepas wakil Ukraine yang menghuni ranking ke-68 dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan pemain Malaysia berusia 16 tahun, Harleein Tan 11-4, 11-5, 6-11, 11-3.

Turut mengiringi Ainaa, pemain ke-307 dunia, Zoe Foo yang mencipta kejutan ke atas rakan senegara, J. Yasshmita yang berada di ranking No. 78 dunia 11-5, 11-6, 7-11, 11-5.

Zoe yang kembali bermain skuasy secara sepenuh masa selepas meninggalkan pekerjaan tetapnya, baru-baru ini, kini berada pada prestasi terbaik dan bakal berdepan pemain ke-53 dunia, Nardine Garas dari Mesir di suku akhir.

Sementara itu, dalam perseorangan lelaki, Ameeshanraj seperti dijangka tidak berdepan masalah menyingkirkan Ammar Altamimi dari Kuwait 11-7, 11-6, 11-2.

Di peringkat lapan terbaik, Ameeshanraj, 21, yang menghuni ranking No. 87 dunia akan mengitung pertemuan dengan Yassin Shohdy dari Mesir di suku akhir.

Seorang lagi wakil Malaysia yang turut melayakkan diri ke suku akhir adalah Duncan Lee, 23, selepas dia melakar kejutan ke atas pemain No. 85 dunia, Mohamed Nasser dari Mesir 11-6, 11-6, 11-6.

Pemain yang menghuni ranking ke-119 dunia itu akan menentang seorang lagi wakil Mesir, Aly Hussein yang berada di tangga No. 93 dunia di pusingan seterusnya.

Selain Harleein, turut ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua ialah enam lagi pemain Malaysia iaitu Darren Pragasam, Mohammad Syafiq Kamal, Goh Zhi Xuan, Bryan Tze, Joachim Chuah dan V. Haneesha yang tewas kepada lawan masing-masing. – UTUSAN

Scroll to Top