Kuala Lumpur: AirAsia telah memulakan khidmat laluan baru menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Langkawi, Kedah melalui penerbangan sulung AK6289 yang tiba di Langkawi mengikut jadual semalam.
Ketua Pegawai Komersial airasia.com, Amanda Woo berkata, jumlah penumpang 80 peratus itu membuktikan Langkawi ialah sebuah destinasi percutian yang popular di negara ini
“Usaha pemulihan pelancongan domestik adalah kerjasama daripada semua pemain industri.
“AirAsia komited untuk mengembangkan hubungan domestik dengan tambang rendah dan meningkatkan prosedur kebersihan dan kesihatan yang ketat untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang diyakini oleh semua orang,” katanya dalam kenyataan.
Selain penerbangan semalam ia juga akan memulakan perkhidmatan bagi tiga laluan baru minggu depan iaitu Pulau Pinang-Kota Bharu; dan Johor Bahru-Kota Bharu pada 22 Dis serta Ipoh-Langkawi pada 23 Dis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Dr Hezri Adnan berkata pihaknya menghargai usaha AirAsia yang menjadikan Langkawi sebagai destinasi utama dari dua bandar di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata pembukaan hubungan antara Langkawi dan pasaran pelancongan baharu menjadikan usaha tersebut sebagai pembuka tirai yang sangat baik bagi 2021.
“Pandemik COVID-19 telah memberikan cabaran kepada semua pihak dan kini masanya untuk anda bersantai di Langkawi destinasi pulau nombor satu di Malaysia di samping menikmati Jualan Hebat Langkawi yang menawarkan pelbagai diskaun.
“Kami harap semua pengunjung mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) kesihatan untuk memastikan perjalanan yang selamat,” katanya menerusi kenyataan yang sama.
Semua tempahan penerbangan yang dibuat sekarang dan sehingga 31 Dis, 2020 dengan tempoh perjalanan dari sekarang hingga 31 Mac, 2021 boleh membuat perubahan tarikh perjalanan tanpa had dan tanpa bayaran tambahan untuk pertukaran penerbangan melalui pautan Tempahan Saya.
ZA137 Malay News
National Desk



