nurul_husna@mediaprima.com.my
Air basuhan beras lazimnya dibuang sebenarnya penting untuk pertanian.
Malah, air basuhan beras yang mungkin dirasakan sisa sebenarnya menyimpan komponen nutrien bernilai tinggi.
Menurut Ketua Jabatan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Christopher Teh Boon Sung, amalan menggunakan air basuhan beras sebagai baja tanaman sudah lama diamalkan.
“Sebenarnya, manfaat air basuhan beras selama ini lebih bersifat anekdot, diwarisi daripada amalan tradisi masyarakat yang telah sekian lama memanfaatkannya secara praktiks.
“Di beberapa kampung seperti Pulo Gelius dan Lambangkuning di Jawa, Indonesia, penduduk malah mengamalkan pengumpulan air basuhan beras secara kolektif untuk tujuan pertanian mereka.
“Populariti air basuhan beras turut mendorong beberapa individu, termasuk pelajar, menjual produk itu dalam botol secara dalam talian, selain pelbagai video tutorial menunjukkan kaedah membuat baja aur basuhan beras itu sendiri,” katanya.
Namun, berkaitan keberkesannya, masih tiada pembuktian secara saintifik.
Justeru, pihaknya mengambil peranan melakukan eksperimen melihat kebaikan baja air basuhan beras.
“Kami menguji air basuhan beras tertapai selama tiga hari terhadap dua jenis sayuran popular iaitu sawi choy sum (Brassica chinensis) dan kangkung (Ipomoea reptans).
“Pada awalnya, hasil tanaman yang disiram air basuhan beras kurang menonjol, hampir sama dengan tanaman yang disiram air paip sahaja, sementara tanaman yang diberi baja kimia menunjukkan pertumbuhan terbaik.
“Tetapi, apa yang menarik ialah, kesan jangka panjang air basuhan beras. Selepas kitaran pertumbuhan kedua, choy sum yang dirawat dengan air basuhan beras mencapai pertumbuhan yang setanding atau lebih baik berbanding tanaman yang diberi baja kimia,” katanya.
Tambah beliau, kangkung pula menunjukkan hasil yang lebih memberangsangkan selepas tiga kitaran.
Tanaman kangkung dirawat dengan air basuhan beras adalah 50 hingga 70 peratus lebih berat dan luas daunnya meningkat 30 peratus berbanding tanaman yang diberi baja kimia.
“Tanah dirawat dengan air basuhan beras menunjukkan peningkatan populasi bakteria tinggi berbanding tanah dirawat dengan baja kimia sahaja.
“Malah, kombinasi separuh baja kimia dan penyiraman harian air basuhan beras memberikan hasil terbaik untuk choy sum, selain mengurangkan kesan negatif baja kimia terhadap populasi bakteria tanah.
“Justeru, jelas bahawa air basuhan beras memang berpotensi besar sebagai baja semula jadi untuk tanaman, terutamanya jika digunakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian menunjukkan, apabila beras dibasuh, butiran beras kehilangan antara tiga hingga 91 peratus nutrien tanaman penting, terutamanya boron, sulfur, kalium dan magnesium.
“Apa yang hilang daripada beras ini, sebenarnya berpindah ke dalam air basuhan beras, menjadikannya sumber nutrien berharga untuk tanaman.
“Kami mendapati, air basuhan beras mengandungi nutrien tumbuhan penting seperti nitrogen, sulfur, fosforus, kalium, magnesium dan boron dalam kepekatan yang ketara.
“Lebih menarik, apabila air basuhan beras ditapai (iaitu, diperam) sehingga tiga hari, kepekatan nutrien ini meningkat dengan ketara.
“Selain itu, proses penapaian ini juga menggalakkan pertumbuhan bakteria berguna seperti ‘Enterobacter ludwigii’, ‘Enterobacter mori’, ‘Bacillus velezensis’, ‘Klebsiella pneumoniae’, ‘Pantoea agglomerans’, dan ‘Stenotrophomonas maltophilia’ yang membantu meningkatkan ketersediaan nutrien untuk tumbuhan.
“Hormon tumbuhan seperti asid indol-3-asetik (IAA), yang sangat penting untuk pertumbuhan akar, juga ditemui di dalam air basuhan beras,” katanya.
Bagaimanapun, penapaian air basuhan beras tidak boleh melebihi tiga hari, kerana populasi bakteria bermanfaat akan berkurangan selepas tempoh ini.
Beliau menyarankan supaya amalan pertanian seperti ini dipergiatkan dalam konteks perubahan iklim dan permintaan air yang semakin meningkat.
Pengurusan air sisa seperti air basuhan beras menjadi semakin penting selain mengitar semula air berkenaan bukan sahaja menjimatkan penggunaan air, malah membantu mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




