Beijing: Air China memulakan semula penerbangan terus antara Beijing dan Pyongyang, Korea Utara, selepas enam tahun ‘berehat’.
Langkah itu menunjukkan Korea Utara secara beransur menjadi lebih terbuka selepas perkhidmatan kereta api antara ibu kota disambung semula.
Difahamkan, China menjadi rakan dagang terbesar dan sumber sokongan diplomatik serta politik penting bagi ekonomi Korea Utara.
Bagaimanapun, perjalanan antara jiran Asia Timur itu terhad sejak 2020 apabila penutupan sempadan ketat dilaksanakan semasa pandemik Covid-19.
Menurut laman web Air China, penerbangan CA121 dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Beijing Capital pada jam 8.05 pagi hari ini dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sunan, Pyongyang pada 11 pagi.
Tiket kelas ekonomi dijual sekitar AS$200 (kira-kira RM803.98) dan penerbangan pulang dari Pyongyang dijadual pada tengah hari.
Difahamkan, hanya pengembara dengan tujuan rasmi atau khas dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan kerana Pyongyang enggan mengeluarkan visa pelancong.
Perkhidmatan kereta api penumpang harian antara China dan Korea Utara juga disambung semula pada Mac.
Wartawan AFP di Dandong, bandar timur laut China yang sudah lama menjadi pintu masuk uatam untuk perjalanan dan perdagangan dengan Korea Utara, melihat kereta api penumpang harian itu kebanyakannya kosong menuju ke Korea Utara, minggu lalu.
China sudah membuka semula sempadannya secara penuh sejak pandemik, tetapi Korea Utara bergerak lebih perlahan dengan hanya menyambung semula perkhidmatan kereta api dan penerbangan terus dengan Rusia pada 2025, selain Air Koryo memulakan semula penerbangan Beijing-Pyongyang pada 2023.
Young Pioneer Tours, agensi pelancongan yang mengkhusus dalam perjalanan ke Korea Utara berkata, keputusan Air China menyambung semula laluan ke Beijing membuka Pyongyang kepada sambungan lebih mudah diakses.
Pengurus lawatan, Rowan Beard berkata, walaupun penerbangan itu dijanjikan untuk memperkasa pelancongan tetapi tiada pengesahan lanjut mengenai peluang buat pelancong Barat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




