am@hmetro.com.my
Ranau: Penduduk Kundasang menolak dakwaan menggunakan air kotor mengandungi najis lembu yang ditadah dari ladang ternakan lembu Desa Cattle di sini, untuk kegunaan harian mereka dan pelancong yang berkunjung.
Sebaliknya, sumber air yang digunakan penduduk setempat melalui proses penapisan serta rawatan yang terjamin kebersihannya.
Wakil penduduk, Helmy Syah, 40-an, berkata, tuduhan segelintir individu mengenai sumber air digunakan penduduk Kundasang dikatakan diperoleh dari ladang lembu dan dibimbangi mengandungi najis haiwan itu, adalah tidak benar sama sekali.
“Tuduhan itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali, sekali gus menjejaskan imej Kundasang sebagai destinasi pelancongan dikenali ramai di Sabah dan seluruh dunia.
“Justeru, air yang digunakan penduduk Kundasang diperoleh daripada sumber sudah melalui sistem penapisan dan rawatan air yang terjamin kebersihannya,” katanya.
Menurutnya, dakwaan individu mengenai sumber air di Kundasang itu adalah tidak benar dan berniat jahat.
Katanya, sebagai penduduk tempatan Kundasang, dia terpanggil memberikan penjelasan terhadap tuduhan tidak berasas yang tular menerusi media sosial itu.
Helmy berkata, penduduk Kundasang tidak pernah menggunakan air mengandungi najis lembu dari ladang terkenal itu sebagai sumber air mereka.
“Kami sebagai komuniti tempatan sangat prihatin terhadap kesihatan dan kebajikan penduduk serta pelancong yang datang di daerah ini dan mungkin kami mengunakan air kotor untuk kegunaan harian di Kundasang,” katanya.
Sehubungan itu, dia menasihatkan semua pihak supaya yang lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial.
Katanya, adalah penting untuk menyelidik dan memastikan kesahihan maklumat sebelum disebarkan, kerana kenyataan tidak berasas boleh merosakkan reputasi tempat dan komuniti terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd