NEW YORK – Seorang pembaca berita pagi sempat bersiaran secara langsung tanpa sebarang halangan walaupun telah memasuki fasa awal kontraksi bersalin, dalam kejadian yang berlaku di Albany, New York.
Menurut siaran langsung daripada WRGB-TV CBS6, pembaca berita Olivia Jaquith tetap mengendalikan siaran berita secara profesional pada jam 6 pagi, Rabu lalu, walaupun air ketubannya dilaporkan pecah sekitar jam 4.15 pagi hari yang sama.
Dalam pada itu, rakan setugasnya, Julia Dunn, mengumumkan perkara itu secara langsung sejurus siaran bermula.
“Kita ada berita tergempar pagi ini, secara literal.
“Air ketuban Olivia telah pecah,” katanya.
Bagaimanapun, Olivia menjelaskan bahawa beliau masih berada dalam fasa awal kontraksi.
Katanya, jarak antara kontraksi masih jauh dan beliau masih mampu meneruskan tugas seperti biasa.
Selepas selesai, Olivia berjaya menamatkan keseluruhan siaran langsung sebelum bergegas ke hospital.
Bagi menyokong semangat luar biasanya, syarikat media berkenaan turut memaparkan kiraan hari di sudut skrin yang menunjukkan Olivia telah dua hari melepasi tarikh jangkaan bersalin.
Pada Februari lalu, Olivia mengumumkan bahawa beliau dan suaminya, Tyn, sedang menanti kelahiran anak sulung mereka.
Pengarah Berita WRGB-TV CBS6, Stone Grissom, memuji semangat kewartawanan dan dedikasi Olivia.
“Kami sangat teruja untuk mereka berdua.
“Daripada pengumuman kehamilan secara langsung di kaca TV awal tahun ini, sehinggalah menyertai separuh maraton semasa hamil, Olivia sentiasa mengharungi setiap fasa dengan ketabahan dan penuh gaya.
“Semangat Olivia terhadap dunia kewartawanan, cintanya kepada kampung halaman dan komitmennya kepada penonton kami memang sentiasa jelas. Kami sangat gembira untuk menyambut ahli keluarga kami yang baharu dan paling kecil!” katanya.