am@hmetro.com.my
Tasek Gelugor: Rasa syukur dan berterima kasih, itu ungkapan ibu bapa ketika ditemui selepas Program Titipan Kasih Back To School bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Harian Metro di Dewan Dahlia Midtown Perda, Khamis lalu.
Bagi Muhd Afzal Wari, 33, sumbangan itu pertama kali diterima anaknya, Qays Muhd Furqan, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Tampang.
Mohd Afzal berkata, dia memperuntuk RM300 bagi membeli kelengkapan persekolahan anak sulungnya itu.
“Perasaan memang lega ketika dapat tahu bahawa anak saya terpilih sebagai penerima kerana ia membantu mengurangi perbelanjaan.
“Lebihan wang yang sepatutnya saya gunakan bagi pembelian kelengkapan itu dapatlah saya bayar yuran persekolahannya kelak,” katanya yang bekerja sebagai pemandu penghantaran barang.
Sementara itu, Nurhidayah Zakaria, 37, bersyukur kerana dua anaknya, Muhd Saifullah Mohd Nazir, 16, dan Muhd Aminul Hakim, 14, yang merupakan pelajar SMK Bakti, menerima sumbangan itu.
Sumbangan berkenaan amat bermakna tambahan pula kedua-duanya tinggal di asrama dan memerlukan kos sehingga RM500 seorang termasuk yuran.
“Berikutan pemberian sumbangan ini, dapatlah saya gunakan wang lebihan bagi membeli kelengkapan persekolahan seorang lagi anak.
“Program ini membantu golongan memerlukan menyediakan keperluan untuk anak mereka supaya tampil bersemangat bagi mengikuti sesi baharu persekolahan,” kata suri rumah itu lagi.
Sementara itu Rajamah Said, 52, berkata, peningkatan harga barangan kelengkapan sekolah menyebabkan dia perlu berjimat cermat bagi memenuhi keperluan anaknya, Nur Aidyah Solehah Rosli, 11, yang juga murid SK Pokok Tampang.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada PTPTN dan Harian Metro yang menganjurkan program ini. Semoga ia diteruskan pada masa akan datang bagi membantu murid lain pula,” katanya.
Program itu turut disambut baik oleh warga pendidik berikutan manfaat yang diterima pelajar bagi sesi baharu persekolahan tidak lama lagi.
Pengetua SMK Tasek Gelugor Rahimah Zainuddin berkata, kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan terdiri daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah.
“Harapan saya supaya lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi kerajaan dapat membantu pelajar luar bandar seperti di sekolah kami.
“Ia berikutan ibu bapa tidak mampu atau sukar menyediakan kelengkapan (persekolahan) dan jika ada pun, ia tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui.
Bagi Guru Besar SK Pengkalan Jaya, Rohayu Ali Musa berpendapat, sumbangan itu dapat beri dorongan kepada murid untuk terus cemerlang dalam pendidikan.
“Ia menunjukkan murid daripada keluarga kurang berkemampuan tidak bersendirian dan diberi bantuan sehingga mencapai kejayaan.
“Usaha yang dijalankan menerusi program ini adalah menepati keperluan semasa bagi membantu golongan berkenaan dan ternyata PTPTN juga bukan sahaja membantu pelajar di peringkat tinggi, tetapi termasuk murid di peringkat rendah,” katanya.
Program itu disempurnakan Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Program Titipan Kasih Harian Metro Husain Jahit dan Pegawai Penyelaras KADUN Permatang Berangan, Datuk Omar Abdul Hamid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




