am@hmetro.com.my
Alor Setar: Minuman tradisional, nira nipah segar menjadi pilihan orang ramai setiap kali cuaca panas melanda bahagian utara semenanjung Malaysia.
Malah ada yang menjadikannya sebagai pengganti madu atau gula sebagai perasa tambahan dalam makanan.
Penduduk Kampung Alor Binjal, Zakaria Ibrahim, 77, berkata pokok nipah biasanya mengeluarkan air manisan itu dengan kerap pada musim panas dan berkurangan jika cuaca hujan.
Berikutan ia melalui proses semula jadi, air manisan itu turut mempunyai khasiat tertentu selain dikatakan baik untuk penghadaman.
“Terdapat kira-kira 50 perdu pokok nipah yang saya tanam di kebun sejak lebih 10 tahun lalu dan kebanyakan pesawah di sini menanamnya di penghujung sawah mereka bagi dijadikan tempat berteduh ketika berehat.
“Pokok nipah mengeluarkan air manisan yang banyak ketika musim panas dan rutin saya akan ke kebun sebanyak tiga kali sehari iaitu sekitar jam 7 pagi, 12 tengah hari dan 6 petang berbanding sekali pada hari biasa.
“Sepanjang musim panas, saya boleh mengumpul lebih 25 bungkusan nira nipah dalam masa satu hari dan dijual kepada peraih atau penduduk berhampiran pada kadar harga RM3 setiap satu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Zakaria berkata, hasil jualan nira nipah itu dapat menampung keperluan asasnya sementara menunggu musim penanaman padi akan datang.
Katanya, pengambilan nira nipah di kebunnya juga ada pantang larang yang dianggap sebagai ‘adab’ ketika mengambilnya.
“Kalau mahu ambil nira nipah, tidak boleh pakai wangian kerana ia akan ‘merajuk’ lalu tidak keluarkan hasil pada musim itu dan ia pernah berlaku kepada saya.
“Bukanlah kita hendak percaya pantang larang itu, tetapi saya anggap ia sebagai adab ketika mencari rezeki. Pokok itu ‘tidak suka’ kita pakaian wangian, jadi ikut sahaja,” katanya lagi.
Sementara Alias Mohd Radzi, 60, dari Kuala Lumpur berkata, dia yang pulang kampung sempena Aidilfitri tidak melepaskan peluang menikmati nira nipah hasil dari kebun Zakaria dan dihantar terus ke rumahnya.
“Tahun lepas semasa pulang ke kampung, cuaca tidak begitu baik dan difahamkan nira yang dijual di sekitar kawasan ini tidak menjadi.
“Kali ini kebetulan kita menyambut Aidilfitri dalam keadaan cuaca panas, dapat minum nira nipah memang menyegarkan. Biasanya saya minum tanpa ais lebih kerana lebih sedap atau boleh disejukkan dahulu.
“Ada penjual yang campur nira dengan air kosong dan ada yang dimasak terlebih dahulu tetapi saya lebih suka minum terus selepas diambil di kebun kerana ia lebih segar,” katanya.
Penduduk Ahmad Aidilfitri Halim, 49, berkata, nira nipah juga dinikmati menjadi pengganti gula atau dimasak menjadi ‘gula tarik’ dan nisan nipah sebagai gula asli.
Katanya, gula tarik yang digemari kanak-kanak, dimakan seperti gula-gula dan coklat manakala nisan nipah biasanya dimakan bersama cendol.
“Sekarang musim panas, hampir setiap hari saya minum nira nipah tetapi tidak secara berlebihan.
“Nira nipah memang popular di kawasan utara tetapi orang muda sekarang tidak ‘pandai’ minum dan sangka ia memabukkan. Sekarang memang susah dapat nira nipah yang asli tanpa dicampur air,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




