suliati@hmetro.com.my
Subang Jaya: Watak animasi BoBoiBoy tidak hanya menghiburkan tetapi ia juga memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran dan nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.
Menyedari hakikat itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil langkah proaktif menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Monsta Studios Sdn Bhd (Monsta) bagi memperkukuhkan lagi usaha bersama mempromosikan kesedaran mengenai penjimatan air dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Kerjasama selama tiga tahun bermula 2025 hingga 2027 ini bakal menyaksikan pelbagai program dan penerbitan siri kartun kreatif membabitkan generasi muda dalam menyemai kesedaran mengenai pemuliharaan air sejak peringkat awal.
Ini juga selari dengan aspirasi dan matlamat Kempen BijakAir MADANI oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), yang menekankan kepentingan penggunaan air secara berhemah dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata ia diharap memberi impak jangka panjang, bukan sekadar meningkatkan kesedaran tetapi turut mendorong perubahan tingkah laku masyarakat terhadap amalan penggunaan air secara berhemah, terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, ikon popular seperti BoBoiBoy mempunyai keupayaan menyampaikan mesej konservasi air dengan lebih berkesan kerana ia dekat di hati rakyat dan mudah difahami pelbagai lapisan usia.
“Kami yakin, melalui penyampaian kandungan yang menarik serta pelaksanaan aktiviti jangkau luar ke sekolah-sekolah, mesej penting ini dapat disampaikan dengan lebih efektif.
“Menerusi kerjasama ini juga kami berharap dapat mencipta perubahan positif mengenai kepentingan penjimatan air dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.
“Kerjasama ini juga menunjukkan sokongan daripada rakan kolaborasi untuk turut sama mengambil bahagian dalam usaha pemuliharaan air dan seterusnya memastikan bekalan air yang mampan pada masa hadapan,”katanya.
Adam berkata antara cabaran terbesar yang dihadapi pihaknya adalah untuk menggalakkan penggunaan air secara berhemah dan memulihara sumber air terutamanya sungai.
Katanya, meskipun kadar air terawat yang dianggap keperluan asas antara terendah di rantau ini, namun pembaziran masih berlaku dengan purata penggunaan di Malaysia masih tinggi iaitu pada kadar 228 liter per kapita (LCD) sehari.
“Jumlah ini jauh melebihi saranan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu 160 LCD.
“Oleh itu, BoBoiBoy dipilih bukan sahaja kerana popularitinya, tetapi juga kerana kemampuan watak ini untuk menembusi pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Mengulas mengenai keupayaan peraduan Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy, Adam berkata usaha memupuk kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan sumber air perlu bermula peringkat akar umbi seperti pelajar sekolah.
Malah, katanya, generasi muda juga perlu memainkan peranan untuk memastikan kelesterian bekalan air pada masa hadapan, terutamanya bagi meneruskan kehidupan seharian selain menjadi peneraju dalam membangunkan negara kita.
“Selain menggunakan pendekatan terkini dan menarik menerusi media sosial dan video pendek, setiap penyertaan ini boleh digunapakai sebagai panduan mengenai usaha yang sudah atau sedang dijalankan pihak sekolah serta boleh menjadi inspirasi kepada semua.
“Menerusi pertandingan ini juga, peserta bukan sahaja diajak mengekspresikan pemahaman mereka mengenai pemuliharaan air, malah penyertaan mereka juga boleh jadi inspirasi kepada sekolah lain.
“Secara tidak langsung, mereka dibentuk menjadi ejen perubahan masa depan,”katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Monsta Kee Yong Pin berkata pihaknya terus komited menjalin kerjasama dengan Air Selangor dalam meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai pemuliharaan air melalui pendekatan kreatif dan menyeronokkan.
“Usaha ini juga memberi peluang kepada kami untuk menyampaikan mesej penting mengenai kelestarian alam sekitar, serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk bertindak sebagai agen perubahan dalam usaha memelihara sumber air,”katanya.
Pada majlis sama, Air Selangor mengumumkan pemenang Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy bagi tahun 2024.
Berjaya menghasilkan video yang kreatif dan sarat dengan mesej, SK Polis Depot Kuala Lumpur dinobat sebagai pemenang sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa kemudahan mencantikkan sekolah bernilai RM15,000.
Tiga sekolah lain iaitu Azan Integrated Islamic School, Sepang, SK Seri Fajar, Kuala Kubu Bharu dan SK Taman Tasik, Ampang masing-masing menerima hadiah saguhati bernilai RM5,000 setiap satu.
Kesinambungan daripada kejayaan Misi Jimat Air BoBoiBoy 2024, Air Selangor dan Monsta melancarkan Peraduan Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy 2025, bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia pada bulan Jun 2025.
Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan ini atau usaha pemuliharaan air oleh Air Selangor, sila layari www.airselangor.com/airselangorxboboiboy.
© New Straits Times Press (M) Bhd