Air Selangor umum gangguan air akibat penyenggaraan

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Air Selangor berkata, beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air selama 48 hingga 68 jam akibat kerja penyenggaraan pada 30 Mac dan 6 April ini.

KUALA LUMPUR: Kerja penyenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan dilaksanakan tahun ini bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan bekalan air berterusan.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, kerja-kerja penyenggaraan itu mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Beliau berkata, antaranya kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam, yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.

Katanya, kerja yang akan bermula 9 pagi hingga 9 malam 30 Mac ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di lima kawasan di Petaling, 14 kawasan di Klang serta 11 kawasan di Shah Alam, dengan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam 1 April.

Selain itu, beliau berkata, penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates akan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan Wangsa Maju, yang bakal mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.

Katanya, kerja yang akan bermula 9 pagi hingga 9 malam 6 April ini bakal menyebabkan 12 kawasan di Gombak dan 46 kawasan di Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air berjadual, sebelum dijangka pulih sepenuhnya pada 5 pagi 9 April.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza, bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.”

Sementara itu, beliau berkata, Air Selangor dalam perancangan melaksanakan kerja penyenggaraan aset utama di LRA Cheras Batu 11 pada 15 Jun nanti, LRA Sungai Langat (6 Julai) dan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (5 Okt).

Katanya, pelaksanaan kerja itu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya mengelakkan tarikh semasa peperiksaan utama sekolah kerajaan dan acara penting peringkat antarabangsa, nasional atau negeri.

“Air Selangor ingin menjelaskan pelaksanaan kerja berjadual ini dilaksanakan bagi membolehkan aset utama dan sistem pengagihan bekalan air berada di tahap baik.

“Penambahbaikan infrastruktur paip ini juga sebahagian daripada usaha Air Selangor meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengguna di masa hadapan.”

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh layari www.airselangor.com atau rujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti Facebook, Instagram, Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.