am@hmetro.com.my
Alor Setar : Situasi banjir di beberapa kawasan di negeri ini menunjukkan perkembangan positif apabila paras air semakin surut susulan hujan yang tidak terlalu lebat di kawasan hulu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan cuaca yang lebih baik sejak semalam, membantu mempercepatkan proses air surut berbanding kejadian banjir tahun lalu.
“Tahun lalu hujan turun serentak dengan air laut pasang besar. Sebab itu air naik mendadak sampai jadi tiga gelombang. Alhamdulillah tahun ini tidak berlaku macam itu.
“Kita harap cuaca bertambah baik sehari dua ini. Jika hujan tidak turun di hulu, air akan terus surut dan mangsa boleh pulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perdana di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, koordinasi antara kerajaan negeri dan semua agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjalan lancar tanpa sebarang isu.
“Alhamdulillah semua berjalan macam biasa. Tak ada apa yang menyukarkan kita. Kita harap JKM teruskan kerajinan mereka, memang saya tengok mereka kerja sungguh. Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bantuan khas untuk mangsa banjir belum dibincangkan atau dibawa ke dalam mesyuarat kerajaan negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




