lokman.khairi@hmetro.com.my
Taiping: Di sebalik senyumannya tersimpan seribu satu kepayahan yang terpaksa ditanggung sejak kehilangan bapa tersayang tiga tahun lalu.
Siti Sharah Mustaffa, 27, menjadi tonggak harapan keluarga selepas bapanya, Mustaffa Ismail meninggal dunia pada 2021 akibat serangan jantung.
Setiap hari, beliau bertungkus-lumus membantu ibunya, Norina Ahmad, 57, yang menghidap kencing manis dan darah tinggi, menguruskan kedai sarapan mereka di Kampung Sungai Kerang, dekat Trong, di sini.
Namun, kini nasibnya mula berubah selepas terpilih menyertai Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim anjuran bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Kolej Teknikal PAC Lumut.
Siti Sharah berkata, program latihan kulinari selama lima hari bermula 1 Jun lalu itu bukan sekadar memberinya kemahiran baharu, tetapi turut menyuntik semangat dan keyakinan diri untuk terus membantu ibunya menguruskan kedai makan warisan keluarga.
“Saya dapat pengetahuan yang lebih meluas mengenai pengendalian makanan dan dapur secara lebih profesional.
“Sebelum ini, saya biasa masak sarapan dan lauk tengah hari yang lebih kepada makanan tradisional di kedai mak.
“Tetapi, apabila sertai program anjuran PASAK, saya diajar masak masakan moden seperti tiga jenis pasta, cara betul masak bolognese dari tomato segar dan pelbagai jenis resipi telur yang saya tak pernah tahu pun sebelum ini,” katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, beliau berhasrat menggunakan kemahiran memasak yang baru dipelajarinya ketika kursus untuk meningkatkan pendapatan keluarga.
“Ilmu yang saya belajar ini, insya-Allah saya boleh manfaatkan untuk tambah menu baharu di kedai mak nanti.
“Sebelum ini makanan tradisional sahaja, selepas ini boleh saya perkenalkan masakan moden,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Jualan dan Pemasaran Kolej Teknikal PAC Lumut, Rohaizah Mohd Yusof berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan PASAK bagi membangunkan bakat anak muda tempatan.
Menurutnya, menerusi kerjasama itu, PASAK menyediakan dana sebanyak RM18,000 atau RM1,200 bagi setiap peserta, sementara Kolej Teknikal PAC Lumut menyumbang tenaga pengajar serta fasiliti.
“Program TVET Anak Yatim yang disertai 15 peserta itu bukan sahaja memberi latihan kemahiran secara percuma, malah setiap peserta dianugerahkan sijil penyertaan dan menerima elaun RM200.
“Kami mahu mereka ada minat dan tidak rasa rendah diri. Walaupun ketinggalan dalam bidang akademik, tak semestinya mereka tak boleh berjaya,” katanya.
Katanya, inisiatif itu bukti komitmen PASAK sebagai antara agensi peneraju flagship Koridor TVET Malaysia menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Program TVET Anak Yatim adalah latihan kemahiran jangka pendek khusus kepada golongan anak yatim dalam membantu peserta mendapat peluang kerjaya atau menceburi bidang keusahawanan selepas tamat latihan.
Kursus sebegini membantu meningkatkan pendapatan peserta serta peningkatan kemahiran ke dalam sektor pekerjaan, di samping memastikan semua golongan anak yatim setiap daerah di negeri ini mendapat ruang dan peluang untuk menyertai program peningkatan kemahiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd