Kuala Lumpur: AirAsia Bhd memaklumkan tempahan 150 pesawat Airbus A220 itu akan menelan belanja sekitar AS$19 bilion, menurut Penasihatnya Tan Sri Tony Fernandes.
Fernandes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, menjangkakan penghantaran pertama pesawat berkenaan akan tiba selewat-lewatnya pada suku pertama 2028.
Beliau berkata Airbus A220 akan membuka potensi pasaran dan laluan baharu, sekali gus membawa mereka lebih dekat untuk membina rangkaian syarikat penerbangan kos rendah yang pertama di dunia.
“Jadi, dengan adanya pesawat berkapasiti 160 tempat duduk ini, ia membolehkan kami meningkatkan margin keuntungan sekitar dua hingga tiga mata peratusan, di samping membina rangkaian yang jauh lebih luas.
“Pesawat ini juga boleh terbang sehingga tujuh jam dan di Asia, ia mempunyai nilai yang sangat tinggi pada kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tempahan Airbus A220 yang disiarkan secara langsung dari Mirabel, Quebec, Kanada.
Terdahulu dalam ucapannya, Fernandes turut menyatakan minat untuk kemungkinan membeli 150 buah pesawat lagi sekiranya pengeluar pesawat berkenaan membina versi yang lebih panjang, yang dikenali sebagai Airbus A220-500, yang mampu memuatkan sekitar 185 tempat duduk.
“Ini merupakan perjanjian bernilai AS$19 bilion, yang boleh meningkat sehingga AS$38 bilion sekiranya kami dapat memiliki versi yang lebih panjang itu,” kata beliau.
Apabila ditanya mengapa beliau memerlukan versi program A220 yang lebih panjang, Fernandes berkata pesawat A320 sedia ada kini menghampiri penghujung jangka hayatnya dan pesawat dengan 180 tempat duduk akan menjadi pengganti yang sempurna.
“Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa kami membeli begitu banyak pesawat semasa krisis terbaru ini, namun krisis merupakan satu peluang untuk membuat keputusan yang berani.
“Kami telah membangunkan AirAsia dengan membuat keputusan yang berani pada saat yang tepat, bukannya pada saat yang paling mudah. Tempahan ini mencerminkan disiplin jangka panjang kami serta skala cita-cita kami,” kata beliau berhubung perjanjian yang bernilai berbilion dolar itu.
“Kerjasama kami dengan Airbus telah menjangkau lebih dua dekad dan menjadi tunjang kepada segala pencapaian kami. Hari ini merupakan satu lagi mercu tanda dalam perjalanan itu dan banyak lagi yang akan menyusul pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Lars Wagner yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan bagi Pesawat Komersial Airbus mengesahkan perjanjian bersejarah berkenaan, yang menyaksikan model A220 melepasi angka 1,100 tempahan.
Turut hadir pada majlis itu, Perdana Menteri Kanada Mark Carney.
© New Straits Times Press (M) Bhd



