Kuala Lumpur: AirAsia X Bhd (AirAsia X) dilaporkan membawa 1.08 juta penumpang pada suku ketiga 2024, mewakili 34 peratus peningkatan dari tahun ke tahun, selain mencapai faktor muatan penumpang yang kukuh iaitu sebanyak 84 peratus, meningkat empat mata peratusan.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan kelmarin berkata, prestasi itu dicapai apabila lebih banyak pesawat kembali beroperasi sepanjang tahun lepas yang secara efektif meningkatkan kapasiti tempat duduk sebanyak 27 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.28 juta tempat duduk, manakala kapasiti kilometer tempat duduk tersedia (ASK) meningkat sebanyak 17 peratus dari tahun ke tahun kepada 5.14 bilion pada suku ketiga 2024.
Dari segi rangkaian pada suku ketiga 2024, AirAsia X melancarkan penerbangan ke Changsha (empat kali seminggu) dan Madinah (dua kali seminggu) serta memperkenalkan semula laluan Taipei-Osaka (tujuh kali seminggu) sebagai memanfaatkan hak kebebasan kelima yang dimilikinya di pasaran.
“Hubungan udara juga diperkukuhkan lagi untuk memanfaatkan dua laluan yang paling menguntungkan iaitu Hangzhou (menjadi enam kali seminggu) dan Xi’an (menjadi empat kali seminggu),” katanya.
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, pada akhir September 2024, lebih daripada separuh laluan dalam rangkaian mereka menawarkan penerbangan harian kerana syarikat terus fokus untuk memenuhi permintaan perjalanan yang tinggi.
Dalam pada itu, syarikat bersekutu kepada AirAsia X, AirAsia X Thailand (TAAX) turut merekodkan faktor muatan penumpang yang baik iaitu pada 80 peratus untuk suku ketiga 2024, turun dua mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




