AirBorneo ubahsuai ATR-72 jadi pesawat kargo, eksport hasil pertanian, ternakan ke Singapura

AirBorneo ubahsuai ATR-72 jadi pesawat kargo, eksport hasil pertanian, ternakan ke Singapura

mdroji@bh.com.my

Kuching: Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo akan menukar salah satu pesawat turbo prop ATR-72 milik MASwings, yang akan diambil alih tidak lama lagi, menjadi pesawat kargo.

Ia bagi menyokong peningkatan eksport hasil pertanian dan ternakan Sarawak ke Singapura.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pesawat kargo itu akan digunakan khusus untuk mengangkut produk seperti ikan tilapia yang diternak di empangan hidroelektrik Batang Ai.

Menurutnya, Sarawak kini mengeksport antara 10 hingga 12 tan ikan tilapia dan patin ke Singapura setiap tahun menggunakan penerbangan komersil.

“Permintaan terhadap hasil pertanian dan makanan khas dari Sarawak seperti beras istimewa dan kek lapis juga semakin meningkat.

“Kini, ayam dan itik turut disenaraikan sebagai antara produk eksport baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Sarawak Agrofest di Bintulu, hari ini.

Abang Johari berkata, dengan jumlah eksport yang semakin bertambah, adalah wajar AirBorneo memiliki pesawat kargo khusus untuk tujuan itu.

MASwings kini mengendalikan kira-kira lapan pesawat ATR-72 siri 500 buatan Perancis.

Salah satu daripada pesawat ini akan ditukar fungsinya kepada kargo setelah AirBorneo memulakan penerbangannya, Januari depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top