Detik penuh emosi menyelubungi penyanyi dan komposer muda berbakat, Aisha Retno apabila menyaksikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu ciptaannya, Kesuma di hadapan puluhan ribu penonton pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, Sabtu lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aisha mengakui tidak mampu menahan sebak apabila lagu yang ditulis dan dihasilkan bersama adiknya itu didendangkan secara langsung di hadapan kira-kira 65,000 penonton, sekali gus menjadi antara momen paling bermakna dalam perjalanan seninya.
“Sudut pandangan, menyaksikan lagu yang ditulis dan dihasilkan bersama adik saya buat penyanyi legenda Datuk Seri Siti Nurhaliza didendangkan di konsertnya di hadapan 65,000 penonton secara langsung,” luahnya.
Video yang dikongsikan itu memperlihatkan Aisha gagal menahan sebak sebagai tanda terharu dan rasa bangga apabila karya yang dihasilkannya menjadi siulan ribuan penonton pada malam bersejarah berkenaan.
Lebih menyentuh hati, Aisha turut berterima kasih kepada Siti Nurhaliza yang secara terbuka menyebut namanya sebagai penghargaan di atas pentas.
“Terima kasih TokTi kerana menyebut nama saya sebagai penghargaan. Ia sangat bermakna untuk saya,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Samudera itu turut meluahkan rasa puas dengan penyampaian Siti Nurhaliza yang menurutnya menepati roh lagu tersebut, sepertimana ketika sesi rakaman dijalankan.
“Terima kasih TokTi untuk persembahan ini. Sayang TokTi selamanya. Terima kasih atas persembahan mega Kesuma.
“Majulah muzik etnik tradisional selamanya tanpa ditelan zaman,” tulisnya.



