Aishah Bakal Gegar Pentas Julai Ini Menerusi Konsert ‘40 Chapters of Love’

Aishah Bakal Gegar Pentas Julai Ini Menerusi Konsert ‘40 Chapters of Love’

Penyanyi legenda tanah air, Datuk Aishah bakal menghadirkan sebuah konsert solo berskala besar berjudul Aishah 40 Chapters of Love yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8 malam di Megastar Arena.

Konsert anjuran Vox Nation Live ini menjadi antara momen penting dalam kerjaya Aishah apabila ia merupakan konsert solo berskala besar pertama yang menghimpunkan perjalanan seni selama empat dekad.

Mengangkat tema cinta dan perjalanan hidup, konsert ini bakal membawa penonton menyelami setiap fasa dalam karier Aishah menerusi rangkaian lagu ikonik yang pernah menjadi siulan ramai.

Antara lagu yang dijangka mengubat rindu peminat termasuk Janji Manismu, Camar Yang Pulang dan Kemaafan Dendam Yang Terindah, selain pelbagai lagi karya malar segar yang dekat dengan memori pendengar.

Menjelang konsert tersebut, Aishah kini giat melakukan persiapan rapi bagi memastikan persembahan yang diberikan berada pada tahap terbaik.

“Konsert ini saya anggap sebagai penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong sepanjang perjalanan saya. Saya teruja untuk kembali ke pentas dan berkongsi momen bermakna bersama mereka. Harap setiap lagu nanti dapat membawa kembali kenangan dan menyentuh perasaan,” katanya.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menyifatkan konsert ini sebagai satu penghormatan kepada legasi seni Aishah dalam industri muzik tempatan.

“Nama Aishah mempunyai pengaruh besar dalam sejarah muzik Malaysia. Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu pengalaman emosi yang akan dirasai penonton dari awal hingga akhir. Kami mahu setiap detik di pentas ini benar-benar memberi kesan kepada peminat,” katanya.

Tiket bagi konsert ini mula dijual pada 17 April 2026, jam 3 petang menerusi platform dalam talian dengan harga bermula RM168 hingga RM788 mengikut kategori.

Dengan gabungan vokal mantap, susunan muzik berkualiti serta produksi bertaraf tinggi, Aishah 40 Chapters of Love dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia yang bukan sahaja mengimbau kenangan, malah mencipta momen baharu buat para peminat.

Scroll to Top