najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Singapura, Aisyah Aziz selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Dr Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail di Singapura, hari ini.
Lelaki yang berjaya menambat hati penyanyi lagu Pujaanku itu ialah abang kepada pendakwah selebriti Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali PU Riz.
Berita pernikahan itu turut dikongsikan Facebook rasmi stesen radio Singapura, Warna 942.
“Alhamdulillah. Kini mereka digelar suami dan isteri. Semoga dapat membina keluarga yang penuh sakinah, mawaddah, ne’mah & rahmah. Insya-Allah,” tulisnya.
Difahamkan, majlis resepsi pasangan itu bakal berlangsung malam ini di sebuah lokasi secara tertutup membabitkan ahli keluarga dan kenalan terdekat.
Aisyah yang juga adik kepada pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz itu mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk meneruskan perhubungan mereka selepas pertemuan pertama yang turut ditemani ibu bapanya.
Katanya, sebelum bertemu dengan jejaka itu buat kali pertama dia melakukan solat sunat agar diberi petunjuk.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan penyanyi itu bakal mendirikan rumah tangga pada bulan ini.
Sementara itu, cubaan Harian Metro mendapatkan Aisyah bagi mendapatkan komennya tidak berjaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




