puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Ajai, tidak mencampuri hubungan dingin antara anaknya, Ayu Nazirah, 28, dengan bekas isterinya, Nourul Depp, 49, kerana disifatkan amat sensitif.
Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 52, berkata pada masa sama dia tidak pernah berhenti memberikan nasihat kepada Ayu supaya menghormati ibu kandungnya itu.
“Tentang anak ini subjek yang agak sensitif. Bagaimanapun, saya sebagai bapa selalu nasihatkan Ayu supaya sedar yang dia (Nourul) tetap ibunya. Hormat terhadap orang tua adalah keutamaan sebagai anak, bukan sahaja kepada ibu bapa, tetapi orang tua secara umum.
“Saya rasa masalah mereka hadapi ini adalah disebabkan kedua-duanya mempunyai perangai yang sama.
“Mungkin seorang sensitif dan seorang lagi pun sensitif. Jadi, timbullah masalah (antara mereka),” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurut Ajai, dia tidak mahu terlalu mencampuri urusan peribadi anaknya memandangkan Ayu kini sudah matang dan mampu berfikir sendiri.
“Bagi saya, sama ada dia bersama saya atau ibunya, itu adalah kebahagiaan dia. Ayu pun bukan budak-budak lagi, dia dah matang. “Insya-Allah, bila sampai waktunya dan dengan doa yang kita selalu titipkan, dia akan baik semula dengan ibunya. Ia hanya soal masa,” katanya.
Katanya, dia sering bertanya perkembangan hubungan anaknya dan bekas isterinya, tetapi tidak mahu terlalu mendesak anaknya.
“Saya selalu jumpa Ayu dan tanya sama ada dia sudah menghubungi mamanya atau belum, tapi dia tidak mahu cakap. Saya pun kurang sedikit bertanya tentang hal peribadi kerana dia sudah dewasa.
“Sebagai ibu bapa, kita perlu terus memupuk kebaikan dalam diri anak-anak. Kita kena ceritakan apa kebaikan yang dia perlu tahu.
“Lambat-laun, dia akan buka hati juga. Lagipun, mereka bergaduh ini sebab sayang. Kalau tidak sayang, mereka takkan bergaduh,” katanya lagi.
Terdahulu, Nourul mendedahkan hubungannya bersama Ayu masih tiada jalan penyelesaian menerusi sebuah audio siar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




