'Ajak komposer kerja dengan saya termasuk Ajai'

'Ajak komposer kerja dengan saya termasuk Ajai'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

“SAYA tidak pernah naik bot yang belum sampai destinasi, tetapi kaptennya sudah terjun.”

Itu perumpamaan pedas penuh makna yang dikongsi suami kepada penyanyi vokal mantap, Nourul Depp saat menyuntik semangat buat isterinya untuk terus bangkit selepas berdepan ujian getir dalam penganjuran konsert solonya.

Selepas tiga dekad menghambakan diri dalam industri seni tanah air, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, kini berdiri di persimpangan paling mencabar dalam kerjayanya.

Konsert yang dinamakan For You Nourul yang sepatutnya berlangsung pada 17 April ini terpaksa ditunda ke tarikh baharu iaitu 30 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Bukan sekadar penundaan biasa, ia dugaan besar buat Nourul apabila penganjur asal bertindak menarik diri atas sebab peribadi.

Mengimbas kembali detik permulaan, pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) ini mendedahkan bahawa perancangan asal sebenarnya hanya showcase ringkas untuk meraikan ulang tahun ke-30 pembabitannya dalam industri.

“Idea ini datang daripada pembantu saya pada Januari 2025. Dia kata, ‘Kak, tahun ini genap 30 tahun, eloklah buat showcase’. Pada mulanya saya ragu-ragu, siapa yang mahu taja?

“Namun, selepas kepulangan saya ke Malaysia dan muncul sebagai penyanyi pembukaan di program Kilauan Emas, baru-baru ini, video saya menyanyikan lagu Kerana Terluka tular.

“Ramai peminat mendesak supaya saya buat konsert seperti artis 90-an yang lain. Dari situ, kami ‘pitching’ kepada beberapa syarikat dan memilih satu penganjur yang nampak sangat bersedia dengan imej segar,” katanya.

Langit tidak selalu cerah, Harapan Nourul untuk melihat konsert itu diuruskan secara profesional berkecai apabila penganjur terbabit gagal memenuhi syarat perjanjian dan akhirnya menarik diri atas alasan peribadi ketika Nourul berada di Perancis.

“Perasaan saya bercampur-baur. Peminat sudah teruja, sidang media sudah dibuat dan tiket sudah mula dijual. Semuanya rasa seperti terhenti tiba-tiba.

“Suami saya memberi kata dua, sama ada mahu teruskan atau berhenti. Dia kata, nama saya sudah digunakan, jadi saya perlu buat keputusan.

“Kami ambil masa tiga minggu untuk nilai semula untung rugi (PNL). Jika ikut pelan lama, saya memang akan rugi besar,” katanya.

Enggan membiarkan impian 30 tahun terkubur, Nourul mengambil langkah berani yang jarang dilakukan artis lain dengan menjadi penganjur sendiri dan menggunakan wang simpanan sebagai modal pusingan awal.

“Kali ini Allah tunjukkan lebih awal sebelum kerugian lebih besar berlaku. “Saya nekad gunakan simpanan sendiri. Restu suami sangat penting, dan dia kata jika saya yakin, teruskan,” katanya.

Satu perkara yang mencuri tumpuan menjelang konsert ini adalah kewujudan hashtag #NourulAjaiReunion di media sosial.

Peminat tegar duo ikon ini tamak masih mengharapkan keajaiban untuk melihat mereka kembali berkongsi pentas.

Menjawab mengenai perkara itu, Nourul menyambutnya dengan nada positif dan matang.

“Peminat ada hak untuk meminta kerana mereka yang menaikkan nama kami. Saya sangat terharu. Secara peribadi, saya menjemput semua komposer yang pernah bekerja dengan saya, termasuk Ajai.

“Jika dia (Ajai) hadir dan mahu menyanyi bersama demi peminat, saya sangat terbuka. Ia bukan untuk kepentingan individu, tetapi hadiah buat peminat yang menyokong kami sejak dahulu,” katanya.

Konsert For You Nourul pada 30 Mei depan bakal menyaksikan penyanyi itu mempersembahkan kira-kira 15 lagu merangkumi kronologi hidupnya daripada fasa duka, kecewa sehinggalah fasa matang sebagai seorang wanita dan ibu.

Menariknya, Nourul juga akan menyelitkan segmen istimewa lagu-lagu Perancis kerana pernah menetap di negara itu.

“Bajet konsert skala begini memang mencecah enam angka. Buat masa ini kami sudah keluarkan deposit dan sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa penaja yang berminat.

“Saya harap peminat akan penuhi Zepp Kuala Lumpur. Ini bukan sekadar konsert ‘comeback’, tetapi satu keraian jujur buat mereka yang masih setia bersama saya selama tiga dekad ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top