Ajal bawah lori

Ajal bawah lori

bhnews@bh.com.my

NILAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah lori yang membuat pusingan-U dekat Jalan Persiaran Ilmu, berhampiran Simpang Desa Kasia, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dikatakan tersepit di bawah lori berkenaan sebelum dikeluarkan pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Nilai.

“Penunggang motosikal, seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu di sebuah IPT di Nilai dalam perjalanan dari Sepang menghala ke Nilai.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun dikatakan secara tiba-tiba membuat pusingan U di kanan jalan, namun terlanggar penunggang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top