am@hmetro.com.my
Seremban: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam loji air di Taman Widuri Indah, di sini, petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa dikatakan terjatuh ke loji air berkenaan ketika memancing.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang bergegas ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di lokasi jam 2.27 petang. Pasukan turut dibantu anggota dari BBP Teluk Kemang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, mangsa berjaya ditemukan pada jam 2.49 petang.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



