Sydney: Seorang penunggang basikal berusia 82 tahun baru-baru ini meninggal dunia, sehari selepas berjaya menamatkan kayuhan sejauh 5,300 kilometer (km) merentasi Australia bagi mengumpul dana untuk badan amal, lapor BBC.
Menurut kenyataan keluarganya, Bob Montgomery meninggal dunia, sehari selepas menamatkan cabaran ‘One Last Ride’ dari Broome di Australia Barat ke Bowral, barat daya Sydney.
Montgomery dan cucunya, Tom Malcolm, 18, berjaya mengumpulkan kira-kira A$105,000 (kira-kira RM 302,833) untuk badan amal penyakit neuron motor (MND) menerusi kayuhan selama enam minggu itu.
Keluarganya berkata, kayuhan itu adalah usaha kutipan dana keenam Montgomery bagi menyokong MND New South Wales (NSW), satu perjuangan yang sangat dekat dengan dirinya.
Menurut keluarganya, isterinya selama 59 tahun, Jenny berada di sisinya ketika pemergiannya, dan Montgomery masih berkongsi mesejnya dengan penuh semangat hanya beberapa jam sebelum meninggal dunia.
Difahamkan, Montgomery dan cucunya tiba di Bowral pada Ahad lalu, dan disambut dengan tepukan gemuruh daripada komuniti tempatan.
Sebelum ini, Montgomery memberitahu penyiar nasional ABC bahawa semangatnya sepanjang perjalanan didorong oleh pertemuan dengan orang ramai serta sokongan yang diterima di setiap lokasi persinggahan.
Montgomery mendapat inspirasi untuk melakukan cabaran itu selepas kehilangan seorang sepupu akibat MND dan sebelum ini berjaya mengumpulkan hampir A$300,000 (kira-kira RM 865,000) menerusi kayuhan kutipan dana lain.
“Saya melihat keluarga dan rakan-rakan menderita. Ia sangat menyayat hati,” tulisnya di laman kutipan dana miliknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




