am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tindakan berlumba dan menunggang motosikal melulu membawa padah apabila dua remaja ‘rempit’ maut dalam kemalangan di Kilometer 51.1, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam kelmarin, membabitkan laluan dari arah Laguna Park, Pulau Indah di Klang menuju ke Pulau Carey.
“Siasatan awal mendapati, empat motosikal ditunggang dari arah Laguna Park, Pulau Indah di sini, secara laju serta bersaing antara satu sama lain.
“Dua daripada motosikal itu dipercayai bergesel sesama sendiri dan terjatuh di atas jalan raya, manakala dua lagi motosikal yang datang dari arah belakang gagal membrek lalu merempuh motosikal yang terjatuh itu.
“Akibat kemalangan itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut,” katanya semalam.
Ramli berkata, siasatan mendapati, dua mangsa yang maut adalah remaja berusia 15 tahun dan pemuda berusia 25 tahun.
“Manakala dua mangsa yang cedera parah berumur 15 tahun dan 24 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Nizam Abdul Talib di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan ibu bapa atau penjaga sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan mengawasi aktiviti mereka terutama pada waktu malam.
“Jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal sekiranya tidak mempunyai lesen yang sah atau terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang membahayakan diri sendiri dan orang lain,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan keadaan penunggang motosikal yang maut dalam keadaan mengerikan di jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd