Amsterdam: Ajax membuat keputusan menukar jurulatih sekali lagi apabila melantik Oscar Garcia bagi mengendalikan pasukan sehingga penghujung musim selepas prestasi hambar dalam saingan liga.
Kelab gergasi Belanda itu mengumumkan bahawa Garcia menggantikan Fred Grim yang sebelum ini bertindak sebagai jurulatih sementara sejak November lalu.
Garcia sebenarnya baru menyertai Ajax bulan lalu untuk mengendalikan pasukan simpanan yang beraksi dalam divisyen kedua Belanda, namun kini diberi tanggungjawab memimpin skuad utama ketika kelab itu berusaha menghidupkan peluang layak ke kejohanan kelab Eropah musim depan.
Keputusan menukar jurulatih itu dibuat selepas Ajax tewas 1-3 kepada FC Groningen pada aksi liga hujung minggu lalu.
Kekalahan itu menyaksikan Ajax hanya meraih satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir selain jatuh daripada tangga ketiga ke tempat kelima liga dengan 44 mata.
Mereka kini ketinggalan 24 mata di belakang pendahulu liga PSV Eindhoven serta lima mata di belakang pasukan tangga kedua Feyenoord.
Tiga pasukan teratas liga Belanda layak ke Liga Juara-Juara Eropah, namun hanya dua pasukan teratas mara secara automatik ke peringkat kumpulan.
Grim pula akan kembali ke akademi Ajax sebagai ketua kejurulatihan selepas sebelum ini mengambil alih tugas daripada John Heitinga yang dipecat berikutan keputusan tidak memuaskan.
Pengarah teknikal Ajax, Jordi Cruyff berkata baki perlawanan musim ini amat penting buat kelab itu.
“Beberapa bulan akan datang sangat penting untuk kelab. Kami masih mempunyai lapan perlawanan lagi dan perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada,” katanya.
Garcia, 52, bukan individu asing buat Cruyff kerana kedua-duanya pernah beraksi bersama di FC Barcelona sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




